Dili, 2 Oktober 2026 – Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KOOP SAHABAT) mencuri tumpuan para usahawan dan koperator wanita Timor Leste menerusi perkongsian model pembangunan komuniti yang berjaya mengangkat KOOP SAHABAT menjadi antara koperasi terbesar di Malaysia serta menerima pengiktirafan sebagai Koperasi Premier daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Ditubuhkan pada 30 Ogos 2012, KOOP SAHABAT kini mempunyai lebih daripada 474,996 anggota yang terdiri daripada 58 kawasan di seluruh Malaysia. Majoriti anggotanya merupakan usahawan wanita yang lahir daripada ekosistem Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), institusi pembangunan mikro yang telah membantu golongan berpendapatan rendah membina kehidupan yang lebih baik melalui keusahawanan.
Penubuhan KOOP SAHABAT bertujuan menyediakan satu platform yang membolehkan usahawan wanita bukan sahaja meningkatkan pendapatan keluarga, malah membina pegangan dan pemilikan dalam sebuah institusi ekonomi milik mereka sendiri. Dalam erti kata lain, KOOP SAHABAT diwujudkan sebagai wadah untuk mengubah golongan wanita daripada sekadar peserta ekonomi kepada pemilik ekonomi.
Berbeza dengan institusi kewangan konvensional yang melihat usahawan sebagai pelanggan atau peminjam, model KOOP SAHABAT memberi penekanan kepada pembinaan pemilikan dalam kalangan anggota. Melalui penyertaan dalam koperasi, setiap Sahabat AIM bukan sahaja menyimpan dan melabur melalui pembelian syer koperasi, malah turut menjadi pemilik bersama kepada sebuah institusi ekonomi yang mereka bina secara kolektif.
Pendekatan ini telah berjaya mengubah ratusan ribu usahawan wanita daripada sekadar peserta program kewangan kepada pemegang saham, pembuat keputusan dan pemilik bersama sebuah koperasi yang kini menguruskan Kumpulan Wang Anggota bernilai hampir RM956 juta. Transformasi ini membuktikan bahawa pembangunan ekonomi yang mampan berlaku apabila masyarakat bergerak daripada budaya menerima bantuan kepada budaya memiliki dan membina kekayaan secara bersama.
Model pembangunan yang diketengahkan oleh KOOP SAHABAT turut menarik perhatian peserta dari Timor Leste kerana ia menunjukkan satu perjalanan pembangunan yang lengkap, bermula daripada akses kepada kewangan, pembangunan keusahawanan, pengumpulan simpanan, pembentukan modal anggota dan akhirnya pemilikan institusi ekonomi oleh komuniti itu sendiri.
Jika dibandingkan dengan model mikro kredit di Timor Leste, akses pembiayaan di negara tersebut diberikan merentasi pelbagai aktiviti ekonomi dan lapisan masyarakat. Namun demikian, keunikan model Amanah Ikhtiar Malaysia dan KOOP SAHABAT terletak pada fokusnya terhadap pembangunan usahawan mikro wanita daripada kumpulan B40 secara tersusun dan berperingkat sehingga mereka mampu membina kekuatan ekonomi secara kolektif melalui koperasi.
Selain itu, kepelbagaian aktiviti perniagaan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh KOOP SAHABAT turut menjadi faktor utama kejayaannya. Antara perkhidmatan utama yang ditawarkan termasuk pelaburan emas, perdagangan emas, pajak gadai Islam (Ar-Rahnu), pembangunan hartanah, hospitaliti dan pelbagai pelaburan strategik yang memberikan pulangan kepada anggota.
Dari sudut transformasi digital pula, KOOP SAHABAT telah memperkenalkan Sahabat Super App yang membolehkan anggota mengakses pelbagai perkhidmatan koperasi secara lebih pantas, mudah dan efisien.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KOOP SAHABAT, Tuan Haji Mazri Mahmood semasa sesi perkongsian bersama para usahawan wanita di DRCCMD2026, kekuatan sebenar koperasi bukan terletak kepada saiz aset atau keuntungan semata-mata, tetapi kepada kemampuan koperasi menjadi platform pembangunan anggota.
“Dari Sahabat, Kepada Sahabat, Untuk Sahabat. Di banyak tempat, usahawan wanita hanya menjadi pelanggan kepada institusi kewangan. Mereka menyimpan wang, membuat pembiayaan dan memenuhi komitmen kewangan mereka. Tetapi di KOOP SAHABAT, setiap Sahabat AIM bukan sekadar pelanggan. Mereka adalah anggota dan pemegang saham koperasi. Mereka memiliki sebahagian daripada institusi yang mereka bangunkan sendiri secara bersama,” ujar beliau.
Beliau menambah bahawa keuntungan yang dijana oleh aktiviti perniagaan koperasi akan dipulangkan semula kepada anggota dalam bentuk dividen serta pelbagai manfaat kebajikan.
“Inilah kelebihan model koperasi. Anggota bukan sahaja menggunakan perkhidmatan yang disediakan, malah mereka turut berkongsi hasil kejayaan perniagaan yang dibangunkan secara kolektif. Mereka bukan sekadar pengguna, tetapi pemilik kepada nilai ekonomi yang dicipta.”
Dalam masa yang sama, KOOP SAHABAT turut menyediakan jaringan keselamatan sosial melalui inisiatif KOOP CARE yang merangkumi bantuan khairat kematian, bantuan penyakit kritikal, bantuan bencana, bantuan pendidikan dan pelbagai bentuk sokongan kebajikan lain bagi memastikan kesejahteraan anggota sentiasa terpelihara.
Menurut beliau lagi, falsafah pembangunan KOOP SAHABAT adalah berasaskan proses peningkatan nilai anggota secara berperingkat.
“Kami mahu anggota bergerak daripada menyimpan kepada memiliki. Apabila seseorang wanita memiliki pegangan dalam koperasi dan menikmati pulangan daripada aktiviti ekonomi koperasi, beliau bukan lagi sekadar peserta ekonomi tetapi menjadi sebahagian daripada pemilik ekonomi tersebut.”
Model pembangunan KOOP SAHABAT yang berteraskan pemilikan komuniti dan pemerkasaan wanita dilihat amat relevan dengan situasi semasa di Timor Leste. Berdasarkan statistik semasa, usahawan wanita menguasai hampir 39 peratus daripada jumlah entiti perniagaan di negara tersebut, manakala kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja mencecah sekitar 61.7 peratus. Namun begitu, sebahagian besar daripada mereka masih terbabit dalam pekerjaan yang bersifat rapuh serta aktiviti ekonomi sara diri.
Justeru, model pembangunan yang membolehkan wanita berkembang daripada penyimpan kepada pemilik, daripada peserta kepada pemegang saham dan daripada penerima manfaat kepada pencipta kekayaan dilihat berpotensi menjadi antara pendekatan yang boleh diterokai oleh Timor Leste dalam memperkukuh ekonomi komuniti dan memperkasa golongan wanita di negara tersebut.
Di Malaysia pula, terdapat lebih daripada 219,000 perniagaan yang dimiliki oleh usahawan wanita. Perniagaan-perniagaan ini menyumbang lebih RM136 bilion kepada ekonomi negara dan menyediakan ratusan ribu peluang pekerjaan. Hakikat ini membuktikan bahawa apabila wanita diberikan akses kepada peluang, ilmu, jaringan dan pemilikan, mereka mampu menjadi antara pemacu utama pembangunan ekonomi negara.
Bagi KOOP SAHABAT, kejayaan sebenar bukan sekadar membina sebuah koperasi yang besar, tetapi membina sebuah gerakan ekonomi yang dimiliki oleh wanita-wanita yang suatu ketika dahulu hanya bermula dengan impian untuk memperbaiki kehidupan keluarga mereka.
“KOOP SAHABAT bukan sekadar menyediakan ruang untuk anggota menyimpan wang. Kami menyediakan platform untuk anggota memiliki masa depan ekonomi mereka sendiri.”


