Friday, April 3, 2026
HomeANTARABANGSAANGKASA, NACF Adakan Perbincangan Dua Hala

ANGKASA, NACF Adakan Perbincangan Dua Hala

Oleh: Nor Lela Abdul Ghani

ANGKASA mengadakan perbincangan dua hala dengan National Agricultural Cooperative Federation (NACF) di Bangkok, Thailand pada 12 Mac 2026 bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan sektor agribisnes serta memperluas jaringan perdagangan koperasi di peringkat serantau dan antarabangsa.

Pertemuan tersebut diketuai oleh Presiden ANGKASA merangkap Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah bersama Timbalan Pengurus Besar NACF, Mr. Lee Ki Heung.

Perbincangan berkenaan menyentuh kesediaan kedua-dua pihak untuk mempererat kerjasama dalam pelbagai sektor, khususnya pertanian, digitalisasi dan perdagangan.

Dalam pertemuan tersebut, ANGKASA turut menyatakan sokongan terhadap peranan NACF untuk terus menerajui International Cooperative Agricultural Organization (ICAO) selaras dengan usaha memperkukuh kepimpinan koperasi pertanian dalam pembangunan ekonomi komuniti di peringkat global.

Selain itu, pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 2017 berkaitan kerjasama projek pembangunan industri lembu tenusu turut dibincangkan sebagai langkah meneruskan kolaborasi perniagaan dan penyelidikan antara ANGKASA dengan federasi Korea Selatan itu dalam sektor agribisnes serta industri tenusu.

Pada masa yang sama, ANGKASA menggalakkan NACF meningkatkan penyertaan aktif dalam program yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Perniagaan dan Perdagangan ICA-AP yang dipengerusikan oleh ANGKASA. Antara program tersebut termasuk Mesyuarat dan Forum Akses Pasaran Koperasi Asia Pasifik yang dijadualkan berlangsung di Xi’an, China pada 27 April 2026.

Selain itu, ANGKASA turut mencadangkan agar NACF mempertimbangkan untuk menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Perniagaan dan Perdagangan ICA-AP yang dijadualkan berlangsung di Korea Selatan pada suku keempat 2026.

Dalam masa yang sama, NACF juga dicadangkan menetapkan pegawai penghubung khusus bagi memudahkan koordinasi program berkaitan hubungan antarabangsa serta Malaysia Business Office (MBO).

Kerjasama strategik antara ANGKASA dengan NACF dilihat berpotensi membuka ruang kepada koperasi untuk meneroka perkongsian teknologi, kepakaran dan akses pasaran antara Malaysia dengan Korea, sekali gus memperkukuh jaringan ekonomi koperasi di rantau Asia Pasifik.

Hadir sama Naib Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh dan Pengurus Kanan NACF, Mr. Kwak Jangsu.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine