ANGKASA sedang meneroka potensi kerjasama strategik dengan Azerbaijan Export and Investment Promotion Agency (AZPROMO) bagi memperluaskan jaringan perniagaan koperasi Malaysia ke pasaran Azerbaijan.
Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, perbincangan awal bersama pihak AZPROMO yang diketuai Timbalan Pengarah Eksekutifnya, Mr. Tural Hajili secara dalam talian pada 4 Jun 2025 memberi isyarat positif ke arah kolaborasi dua hala antara kedua-dua pihak.
Perbincangan itu juga merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang program advokasi Organisation of Islamic Cooperation – Cooperative Union (OIC-CU) yang diterajui oleh ANGKASA dan ACO bagi mengukuhkan jaringan kerjasama koperasi dalam kalangan negara anggota OIC.
“Perbincangan memberi tumpuan kepada peluang eksport produk koperasi Malaysia, khususnya produk halal berkualiti tinggi ke Azerbaijan, selain mengenal pasti produk Perusahaan Kecil dan Sederhana serta koperasi Azerbaijan yang sesuai dibawa masuk ke pasaran Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia sebagai peneraju industri halal global melihat Azerbaijan sebagai pasaran baharu yang berpotensi, terutamanya dalam bidang makanan dan minuman, memandangkan permintaan terhadap produk halal semakin meningkat di negara itu.
Dalam sesi tersebut, beliau turut mencadangkan agar kerjasama melangkaui perdagangan semata-mata dan turut merangkumi pembangunan standard halal serta promosi bersama ke pasaran antarabangsa.
“ANGKASA mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam membina gerakan koperasi di Malaysia. Kami bersedia berkongsi kepakaran, amalan terbaik dan model pembangunan koperasi yang boleh membantu pembangunan koperasi di Azerbaijan,” katanya.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuk pertukaran maklumat berkaitan keperluan pasaran Azerbaijan serta penganjuran misi perdagangan khusus melibatkan koperasi Malaysia atau jemputan kepada delegasi Azerbaijan ke Malaysia.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut membangkitkan kemungkinan untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara ANGKASA dengan AZPROMO bagi merasmikan kerjasama tersebut, sepertimana perjanjian yang pernah dimeterai dengan beberapa negara lain sebelum ini.
Sementara itu, Mr. Tural Hajili menyatakan minat tinggi AZPROMO untuk mempelajari kaedah pembangunan koperasi di Malaysia. Menurut beliau, sektor koperasi di Azerbaijan masih kecil dan berdepan pelbagai cabaran untuk berkembang.
“Kami sedang berusaha mengumpulkan koperasi di negara kami. Pengalaman Malaysia dalam hal ini sangat berharga. Kami juga melihat potensi besar dalam produk halal dan sedang mencari saluran import yang lestari untuk produk seperti kacang soya serta barangan lain yang tidak boleh ditanam di Azerbaijan kerana faktor iklim,” katanya.
Tambahnya lagi, AZPROMO turut memberi komitmen untuk berkongsi senarai produk Malaysia yang berpotensi untuk diimport, selaras dengan keperluan pasaran di Azerbaijan.
AZPROMO merupakan agensi promosi pelaburan dan eksport di bawah Kementerian Ekonomi Azerbaijan yang bertanggungjawab memacu kemasukan pelaburan asing serta mempromosikan produk tempatan ke pasaran antarabangsa. Agensi itu juga berperanan sebagai pemudah cara hubungan antara pelabur luar dengan sektor perniagaan tempatan di Azerbaijan.
Turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut ialah barisan Naib Presiden ANGKASA iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik serta Pengurus Besar Bahagian Antarabangsa ANGKASA, Dr. Noraini Mohamad.