Friday, August 1, 2025
HomeANTARABANGSAKerjasama NCMF - ANGKASA Berjaya Tubuh 11 Koperasi Kariah Masjid di Filipina

Kerjasama NCMF – ANGKASA Berjaya Tubuh 11 Koperasi Kariah Masjid di Filipina

Sejak tahun 2023, ANGKASA telah menyokong penubuhan tiga Koperasi Kariah Masjid (KKM) di Filipina, termasuk dua koperasi baharu di Pulau Cebu dua bulan sebelum ini.

Kali ini, ANGKASA kembali bekerjasama dengan National Commission on Muslim Filipinos (NCMF) bagi merasmikan enam buah lagi KKM baharu di Luzon.

Menurut Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, penubuhan KKM ini menandakan kesinambungan visi yang kini semakin berkembang ke pelbagai wilayah di negara tersebut.

“Di Malaysia, model KKM telah menunjukkan kejayaan yang nyata. Sehingga Mei 2025, sebanyak 605 KKM telah ditubuhkan, melibatkan lebih 47,000 anggota dengan modal syer terkumpul RM16.56 juta, aset keseluruhan RM41.11 juta dan jumlah perolehan tahunan mencecah RM30.60 juta.

Angka ini mencerminkan potensi besar KKM dalam mengangkat taraf sosioekonomi masyarakat secara mampan dan inklusif.”

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan dua buah KKM di Luzon pada 13 Julai 2025. Empat buah lagi KKM telah dirasmikan pada hari sebelumnya.

Tambahnya, Filipina sebagai negara berbilang kaum dan agama dengan populasi Muslim sekitar 6.4 peratus menuntut pendekatan yang kontekstual dan berpaksikan komuniti dalam pembinaan koperasi. Justeru, ANGKASA akan terus komited menyokong pembangunan koperasi di sini.

KKM yang dirasmikan pada hari ini termasuklah Muslim Traders of Bataan Marketing Cooperative yang dipengerusikan oleh Encik Sultan Abdullah Ampuan.

Koperasi yang berpusat di daerah Bataan itu menjalankan perniagaan runcit dan bengkel motosikal dengan visi untuk memperkasakan komuniti Muslim menerusi keusahawanan berprinsipkan koperasi dan Islam.

Koperasi kedua, Tarlac City Muslim Marketing Cooperative pula menjalankan aktiviti peruncitan dan pembekalan daging halal.

Dipengerusikan oleh Encik Bucari Macacuna, koperasi tersebut berhasrat untuk memperkasakan komuniti Muslim di daerah tersebut selain menyelesaikan masalah ekosistem produk halal kepada semua keluarga Muslim.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah juga turut mengulang harapannya untuk menubuhkan Federasi Koperasi Kariah Masjid di peringkat dunia bagi menyelesaikan permasalahan sosioekonomi umat Islam global.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Ketua Bahagian Pelaburan Daerah Bataan, Encik Khairi Alonto, Pegawai Pejabat Pembangunan Koperasi dan Perusahaan Bandar (CCEDO) Daerah Tarlac, Encik Emmanuel ‘Manny’ Raquiza, Ketua Bahagian Koperasi, Bureau of Muslim Economic Affairs (BMEA), NCMF, Encik Almojin D. Pandapatan, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA, Encik Mohd Safian Abdul Rahman dan Pengurus Seksyen Malaysian Business Office (MBO), Bahagian Antarabangsa ANGKASA, Hajah Wan Azwati Wan Mohamed.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine