Thursday, October 16, 2025
HomeKOPERASIKoperasi Pesara Juga Boleh Menyumbang kepada Ekonomi Rakyat dan Negara

Koperasi Pesara Juga Boleh Menyumbang kepada Ekonomi Rakyat dan Negara

Golongan pesara juga boleh memainkan peranan dengan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi rakyat dan negara melalui penglibatan dalam koperasi.

Demikian menurut Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah sewaktu berucap dalam perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pesara-Pesara Malaysia Berhad Kali Kelima dan Keenam bagi tahun 2025 di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2025.

Katanya, kehidupan selepas persaraan sering dikaitkan dengan cabaran kewangan, penyesuaian gaya hidup dan keperluan untuk terus kekal aktif. Justeru, koperasi pesara boleh menjadi platform keusahawanan yang inklusif melalui kepelbagaian aktiviti seperti pelaburan, perniagaan, perkhidmatan kewangan, pendidikan dan projek komuniti.

Melalui keanggotaan yang bertambah dari tahun ke tahun, koperasi pesara berpotensi besar menjadi penyumbang aktif kepada ekosistem koperasi nasional.

Koperasi pesara setakat ini merekodkan pendaftaran sebanyak 173 buah koperasi dengan keanggotaan seramai 19,065 individu, syer/yuran sebanyak RM11.2 juta, aset sebanyak RM60.84 juta dan perolehan dicatatkan sebanyak RM12.99 juta.

Dalam konteks meluaskan pasaran, koperasi pesara boleh memanfaatkan peluang melalui kerjasama dengan koperasi lain (C2C) serta rangkaian perniagaan yang dipacu oleh ANGKASA di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

“Saya percaya dengan pengalaman luas dan kepakaran dalam pelbagai sektor, koperasi pesara juga mampu menjadi mentor, penasihat dan pembimbing kepada generasi muda agar lebih bersedia menghadapi cabaran masa hadapan selain melaksanakan strategi perniagaan yang mampan serta inovasi.

Inisiatif ini bukan sahaja membantu meningkatkan ekonomi pesara, malah memberi impak positif kepada generasi akan datang. Justeru koperasi ini bukan sahaja menjadi wadah ekonomi tetapi juga medan perjuangan sosial yang berterusan”, ujar beliau.

Beliau juga mengingatkan bahawa daya saing koperasi pesara bergantung kepada keberanian untuk bertransformasi, terutamanya dalam aspek digitalisasi. Pendigitalan perkhidmatan dan operasi mampu meluaskan capaian pasaran serta meningkatkan kecekapan pengurusan.

“ANGKASA sentiasa bersedia untuk menyokong koperasi pesara dalam pelbagai aspek – daripada latihan, pendidikan, nasihat kewangan, sehinggalah kepada membuka peluang pasaran baharu melalui rangkaian dalam negara dan antarabangsa.

Oleh itu, saya menyeru agar semua anggota terus memanfaatkan sepenuhnya kekuatan pengalaman yang dimiliki untuk membawa koperasi ini ke tahap yang lebih cemerlang. Semoga koperasi pesara terus berkembang sebagai bukti bahawa usia bukan penghalang untuk terus menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan negara”, katanya.

Terdahulu, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Wilayah Persekutuan, Haji Fadilah Salim menegaskan bahawa koperasi perlu memastikan aktiviti perniagaan yang dilaksanakan berlandaskan Akta koperasi yang sedia ada.

Perkara tersebut penting bagi memastikan fungsi koperasi berjalan seiring dengan prinsip koperasi di samping keuntungan yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk kebajikan anggota.

Hadir sama ialah Pengerusi koperasi, Prof. Dr. Navaneetha Sagaya Balan dan Penasihat koperasi, Dr Suhaimi Sulaiman serta barisan Ahli Jawatankuasa Koperasi Pesara-pesara Malaysia Berhad.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine