Sumbangan koperasi bukan sahaja terbatas kepada aspek ekonomi semata-mata. Koperasi mempunyai obligasi memenuhi keperluan sosial manusia dan membina kekuatan anggota serta komuniti melalui pembangunan modal insan, menyediakan kemudahan pembiayaan dan membuka ruang pekerjaan.
Demikian ditekankan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 Koperasi Maju Jaya Berhad pada 23 Ogos 2025 bertempat di MAHSA Avenue International College, Kuala Lumpur.
Beliau juga menyarankan agar koperasi di Malaysia tidak hanya bergantung kepada perniagaan kredit semata-mata, malah meneroka bidang baharu yang mampu meningkatkan pendapatan. Diversifikasi aktiviti diyakini dapat memperkukuh daya saing koperasi dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa serta memberi manfaat lebih besar kepada anggota.
Beliau juga turut berkongsi pengalaman ketika menghadiri satu majlis anjuran syarikat e-dagang dari China di Beijing. Melihat perkembangan pesat sektor digital, beliau menegaskan koperasi perlu berani melangkah ke bidang baharu yang berpotensi besar. Antara bidang yang disarankan adalah e-dagang, yang kini menjadi nadi utama perniagaan global.
Menurutnya, dalam era digitalisasi, kecerdasan buatan (AI) dan e-dagang boleh membuka ruang lebih luas untuk koperasi meningkatkan kecekapan serta menjana pendapatan lebih tinggi. Justeru, koperasi digesa merebut peluang tersebut agar kekal relevan dan mampu bersaing dalam pasaran yang semakin dinamik.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Maju Jaya Berhad, Dato’ Ibrahim Shah dalam ucapannya berkata, koperasi berhasrat untuk memperluaskan lagi aktiviti ekonominya dengan terlibat sebagai rakan niaga bersama Routers Tour & Travel Sdn. Bhd. Usaha itu katanya dilihat sebagai langkah strategik untuk mempelbagaikan sumber pendapatan koperasi.
Menurut beliau, kerjasama tersebut bakal membuka ruang kepada koperasi untuk memulakan semula perniagaan pelancongan dengan sokongan ahli serta peluang pasaran yang semakin baik. Koperasi yakin sektor pelancongan mampu menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi koperasi pada masa akan datang.
Turut berlangsung adalah pelancaran website Koperasi Maju Jaya Berhad. Majlis diteruskan dengan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Koperasi Maju Jaya Berhad dan Routers Tour & Travel Sdn. Bhd.
Seramai 120 anggota hadir bagi menjayakan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 Koperasi Maju Jaya Berhad tersebut. Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Koperasi Maju Jaya Berhad, Encik Thopla Govender, Setiausaha Koperasi Maju Jaya Berhad, Encik Ganesan Rajamanickam, Bendahari Koperasi Maju Jaya Berhad, Encik P.G. Krishnan dan Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA, Encik Halim Ibrahim.














