Program penyerahan sumbangan Infaq Qurban Qaseh 2025 anjuran Yayasan Infaq ANGKASA (YIA) dengan kerjasama Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah telah berlangsung di surau Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Kuala Lumpur pada 5 Jun 2025.
Sebanyak empat ekor lembu dan dua ekor kambing biri-biri dengan anggaran nilai RM24,000 akan dikorbankan hasil sumbangan dan diuruskan melalui YIA.
Penyerahan plak sumbangan Infaq Qurban Qaseh 2025 telah disampaikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah.
Menurut beliau, proses penyembelihan akan dijalankan di PPR Kampung Muhibbah pada Hari Raya Aidiladha (7 Jun 2025) sebelum diagihkan kepada 29 wakil asnaf di perkarangan surau PPR Kampung Muhibbah.
Katanya lagi, YIA telah menunjukkan komitmen tinggi melalui sumbangan sebanyak RM139,000 yang disalurkan khusus dalam pelbagai sektor utama seperti kesihatan, pendidikan, ekonomi dan pembangunan sosial di sekitar Kuala Lumpur.
Inisiatif itu telah memberi kesan langsung kepada masyarakat setempat, sekali gus membuktikan keberkesanan program kebajikan yang dirancang dengan teliti dan disalurkan secara strategik.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah juga menzahirkan harapan agar YIA terus berkembang dan memperluaskan lagi skop bantuan yang diberikan.
Beliau optimis bahawa dengan pertambahan dana serta sokongan berterusan daripada masyarakat, manfaat program infaq ini mampu diperluas ke seluruh negara, terutamanya di kawasan pedalaman yang masih memerlukan perhatian. Matlamat ini juga seiring dengan usaha untuk memperkasakan masyarakat luar bandar melalui bantuan bersasar dan kerjasama bersepadu.
Program yang dianjurkan ini bukan sahaja mencerminkan komitmen berterusan YIA dalam membudayakan semangat berinfaq, malah boleh memperkukuhkan jaringan kebajikan melalui kerjasama strategik dengan koperasi di seluruh negara. Menurut perancangan, pada tahun hadapan, seramai 100 orang asnaf disasarkan untuk menyertai ibadah korban melalui program ini.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menyeru agar budaya memberi dan berbuat kebajikan dijadikan amalan hidup oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya, Naib Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA, Dato’ Shaharudin Mohd. Sa’ad, Penolong Pegawai Perpaduan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Encik Muhammad Asraf Jalaludin, Pengerusi KRT Persatuan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Encik Arta Bacha Haji Arja dan Pengerusi Kesatuan KRT Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Encik Norafendi.