ANGKASA melalui Koperasi Perdagangan Perindustrian Malaysia Berhad (KPPMB) mengalu-alukan hasrat Council of Hunan Province Supply & Marketing Cooperatives China untuk menjalinkan kerjasama strategik khususnya dalam bidang pertanian dan perniagaan.
Kolaborasi kedua-dua pihak dalam bidang tersebut didorong oleh kekuatan yang dimiliki masing-masing seterusnya diyakini dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan komuniti setempat.
Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah percaya kerjasama dengan rakan antarabangsa seperti China adalah sebahagian daripada usaha ANGKASA dalam memperjuang dan memperkasakan aktiviti koperasi, sekali gus memantapkan perniagaan koperasi di Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika meraikan kehadiran seramai 20 delegasi daripada negara tersebut yang diketuai Setiausaha Parti Council of Hunan Province Supply & Marketing Cooperatives China, Mr. Zhou Xiaoli bertempat di Wisma Ungku A. Aziz, ANGKASA, Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 3 November 2025.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah yang juga Naib Presiden International Cooperative Alliance Asia and Pacific (ICA-AP) mahu ANGKASA dan Council of Hunan Province Supply & Marketing Cooperatives China terus memberikan sokongan antara satu sama lain dalam mengukuhkan kerjasama perbagai hala, seterusnya mewujudkan kerjasama global yang saling menguntungkan serta membina sinergi yang bermanfaat untuk anggota koperasi secara kolektif.
Perbincangan kedua-dua pihak berjalan lancar dan dikendalikan oleh penterjemah, Ms. Lim Hsin Yee. Hadir sama ialah Penasihat KPPMB, Tan Sri Dato’ Ong Tee Keat, Timbalan Pengerusi KPPMB, Encik Nasarudin Othman, Naib Pengerusi KPPMB, Dato’ Seri Chang Kok Meng dan Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah.
Terdahulu , Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkesempatan memberikan taklimat ringkas mengenai aktiviti pertanian dan perniagaan yang kini sedang digerakkan oleh ANGKASA menerusi Kumpulan Perniagaan Koperasi ANGKASA.


















