Usaha dan komitmen berterusan para petugas media yang sentiasa komited dalam menyalurkan berita terkini serta berkualiti kepada rakyat Malaysia, khususnya mengenai pembangunan koperasi telah banyak memberi kesan positif selain meningkatkan tahap keyakinan masyarakat terhadap gerakan tersebut.
Sebagai menghargai jasa dan sumbangan para petugas media, ANGKASA melalui Program Tanggungjawab Sosial Koperasi (CSR) CoopCare Rezeki Ramadan ANGKASA Bersama Media 2025/1446H telah menyantuni petugas media dari Kumpulan Media Prima Berhad di Balai Berita NSTP, Bangsar pada 4 Mac 2025.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah yang hadir di majlis tersebut telah menyampaikan sumbangan sebanyak 500 pek kurma kepada petugas dari Berita Harian, Harian Metro, New Straits Times dan TV3.
Turut mengiringi beliau ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Puan Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan, Berita & Hal Ehwal Semasa Kumpulan Media Prima Berhad, Puan Farrah Naz Karim, Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Encik Azhari Muhidin, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Encik Zulkifli Jalil, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Encik Husain Jahit dan Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim.