Tuesday, March 3, 2026
HomeKOPERASIKoperasi Perlu Jadi Penyumbang Berkesan Tingkat Sosioekonomi Komuniti

Koperasi Perlu Jadi Penyumbang Berkesan Tingkat Sosioekonomi Komuniti

Koperasi perlu memainkan peranan yang lebih besar bagi menjadi pemangkin berkesan terhadap pembangunan ekonomi akar umbi khususnya kepada komuniti setempat.

Penglibatan koperasi dalam projek berskala tinggi bukan sahaja boleh membuka lebih banyak peluang pekerjaan, malah membantu meningkatkan daya saing ekonomi tempatan selaras dengan kerangka Malaysia MADANI. 

Demikian disuarakan oleh Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail sewaktu menyampaikan ucapan dalam  Majlis Peluncuran Projek SejaTi MADANI ternakan ikan talapia dalam sangkar bertempat di Pejabat Koperasi Kampung Paloh Kuala Terengganu Berhad, Kuala Terengganu pada 7 Februari 2026. 

Katanya, pelaksanaan projek ternakan ikan dalam sangkar tersebut membolehkan koperasi menjana pendapatan secara berterusan melalui jualan hasil ternakan kepada komuniti setempat dengan kualiti terbaik dan harga yang berpatutan.

Beliau yang mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, projek tersebut juga menandakan satu lagi kejayaan ANGKASA dalam membantu memperkasa pembangunan sosioekonomi komuniti melalui pendekatan koperasi dan keusahawanan berteraskan sektor agromakanan.

Projek SejaTi MADANI ternakan ikan talapia dalam sangkar yang terletak di Kampung Pasir Tebakang, Manir  merupakan hasil kerjasama Koperasi Kampung Paloh Kuala Terengganu Berhad selaras dengan aspirasi inisiatif Sejati MADANI yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi rakyat secara inklusif dan mampan. 

SejaTi MADANI merupakan inisiatif Kerajaan Malaysia di bawah Kerajaan MADANI yang diperkenalkan sekitar tahun 2024 bagi memperkasa ekonomi komuniti, khususnya di peringkat kampung dan koperasi. 

Program ini menyediakan dana bantuan antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi setiap projek ekonomi tempatan untuk meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan rakyat, dan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Sebagai badan puncak gerakan koperasi negara, ANGKASA memainkan peranan penting dalam pelaksanaan dan pemantauan projek-projek di bawah inisiatif SejaTi MADANI. 

Sehingga kini, ANGKASA telah menerima peruntukan bagi melaksanakan 20 projek koperasi bernilai RM2 juta dengan tahap siap mencecah 80% pada tahun 2025, selain mengemukakan permohonan tambahan RM10 juta bagi melaksanakan 100 projek baharu di seluruh negara.

Pelaksanaan projek SejaTi MADANI oleh ANGKASA turut melibatkan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak termasuk Koperasi Veteran Tentera, INSKEN serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) bagi memacu ekonomi komuniti. 

Antara projek yang dilaksanakan merangkumi ternakan ikan air tawar seperti kolam kanvas keli, penternakan dan pelbagai aktiviti ekonomi komuniti lain yang kini giat diselia ANGKASA di beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak. 

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Kampung Paloh Kuala Terengganu Berhad, Haji Wan Zakaria Md Nor merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan ANGKASA atas sokongan berterusan yang diberikan kepada koperasi. 

Beliau berkata, bantuan dan bimbingan yang disalurkan membolehkan koperasi terus berperanan aktif dalam menyokong usaha rakyat serta memperkukuh ekonomi komuniti setempat.

Pelaksanaan Projek SejaTi MADANI Ternakan Ikan Dalam Sangkar ini diharap dapat menjadi model kepada koperasi lain dalam membangunkan projek ekonomi berdaya maju dan berimpak tinggi. 

Inisiatif ini sekali gus membuktikan bahawa kerjasama strategik antara koperasi, ANGKASA dan kerajaan mampu membawa perubahan positif ke arah kesejahteraan ekonomi rakyat secara menyeluruh.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Terengganu, Encik Zaid Abu Bakar, Pegawai Latihan Mewakili Pengarah Negeri Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Cawangan Kuala Terengganu, Puan Nooradila Syahida dan Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Terengganu, Tuan Haji Mohamed Yusoff. 

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine