Pembangunan dan pemerkasaan koperasi kariah masjid bukan sahaja dapat menjana pendapatan anggota, malah membantu memperbaiki taraf sosioekonomi rakyat khususnya kepada golongan yang memerlukan dan terpinggir.
Berteraskan kepada usaha, tenaga, modal dan idea, pelbagai jenis perusahaan dapat dibangunkan dengan tujuan memberi kesejahteraan kepada anggota koperasi itu sendiri.
Melalui kerjasama erat antara pihak masjid, Jabatan Agama Islam Negeri, agensi berkaitan dan ANGKASA, koperasi kariah masjid negeri Perlis mampu untuk terus berkembang.

Demikian antara intipati yang disampaikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis sewaktu bertitah dalam majlis perasmian ‘Kempen Penubuhan Koperasi Kariah Masjid-Masjid Negeri Perlis dan Sumbangan Asnaf’ anjuran ANGKASA Negeri Perlis di Kangar pada 12 Mac 2025.
Baginda juga menyeru agar semua pihak terus komited dalam memperkasakan koperasi kariah masjid sebagai salah satu strategi bagi memperkukuhkan ekonomi umat Islam.
Di samping itu, baginda turut menyambut baik inisiatif ANGKASA dalam memperluaskan jaringan koperasi kariah masjid ke peringkat ASEAN sekali gus mewujudkan ekosistem dagangan halal yang lebih kukuh.
Majlis diteruskan dengan simbolik perasmian dan penyampaian sumbangan berupa pek barangan asas kepada 20 asnaf sekitar Kangar.
Terdahulu, Anggota Lembaga ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail yang mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam ucapannya berkata, koperasi kariah masjid berupaya mengukuhkan ekonomi setempat, menyediakan peluang pekerjaan serta membantu dalam pengurusan aset masjid yang lebih sistematik dan berdaya maju.
Menurut beliau, koperasi kariah masjid juga dapat menyatukan ahli kariah melalui aktiviti ekonomi dan sosial yang membawa manfaat bersama.
Katanya lagi, pendapatan yang diperoleh daripada koperasi juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan seperti meningkatkan fasiliti masjid, mengadakan program pendidikan dan keagamaan serta membantu golongan yang memerlukan dalam kariah.
Selain berbuka puasa, majlis turut diisi dengan sesi penerangan mengenai peranan ANGKASA Negeri Perlis dalam memperkasakan koperasi kariah masjid yang disampaikan oleh Pengerusi ANGKASA Negeri Perlis, Dr. Ammar bin Hassan dan taklimat Tatacara Penubuhan Koperasi Kariah Masjid oleh Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Kanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Perlis, Puan Nurul Izatie Mashadi.
Hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Mohd Shukri bin Ramli, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Dato’ Rahimi bin Ismail, Exco Agama Negeri Perlis, YB Tuan Muhammad Azmir bin Azizan, Exco Keusahawanan Negeri Perlis, YB Datin Marzita binti Mansor, Pengarah SKM Negeri Perlis, En. Zaid bin Abu Bakar, Pengerusi ANGKASA Negeri Kedah, Tuan Haji Wan Ibrahim Wan Jusoh, barisan Ahli Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri Perlis dan Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan ANGKASA, Haji Hasnan Haji Mustapha.
Sebagai rekod, terdapat sebanyak 101 buah masjid di negeri Perlis dan 15 daripadanya telah pun menubuhkan koperasi kariah masjid.