Friday, June 20, 2025
HomeANTARABANGSAPeluang ASEAN Perkasa Sektor Perniagaan Koperasi Melalui Platform AC0

Peluang ASEAN Perkasa Sektor Perniagaan Koperasi Melalui Platform AC0

Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah mengetuai delegasi ANGKASA dalam satu kunjungan hormat ke Kedutaan Republik Demokratik Timor-Leste pada 14 April 2025.

Kehadiran delegasi ANGKASA itu telah disambut oleh Duta Besar Timor-Leste, Tuan Yang Terutama (TYT) Lisualdo Menezes Coimbra Gaspari di pejabat Kedutaan Republik Demokratik Timor-Leste ke Malaysia di Kuala Lumpur.

Objektif utama kunjungan tersebut adalah untuk membincangkan mengenai keperluan mempertingkat pengiktirafan koperasi dalam struktur rasmi ASEAN khususnya dalam aspek perniagaan menerusi platform ACO.

Menurut Datuk Seri Dr. Abdul Fattah, ACO yang mewakili lebih 65 juta ahli koperasi di seluruh ASEAN sejak 1977, berhasrat untuk menjadikan koperasi sebagai pemangkin utama kepada pembangunan mampan dan penyertaan ekonomi yang inklusif.

Katanya lagi, ANGKASA selaku Sekretariat ACO memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan jaringan koperasi di peringkat serantau.

Hubungan erat antara Malaysia dengan Timor-Leste turut dizahirkan melalui kerjasama produktif bersama Sekretariat Negara untuk Koperasi (SECoop).

Keprihatinan kerajaan Timor-Leste dalam membangunkan koperasi jelas menunjukkan potensi besar koperasi sebagai pemacu ekonomi rakyat dan pembasmi kemiskinan.

Dalam usaha memartabatkan koperasi ke peringkat ASEAN, ACO mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Koperasi ASEAN dan pengiktirafan rasmi ACO sebagai Entiti Bersekutu ASEAN. Ini penting bagi memastikan suara koperasi didengari dalam forum serantau, setaraf dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Justeru, sokongan Timor-Leste amatlah dihargai bagi merealisasikan hasrat ini.

ANGKASA turut menjemput rasmi Kedutaan Timor-Leste ke ASEAN Co-operative Dialogue 2025 yang akan berlangsung di Malaysia pada Mei ini. Kehadiran mereka akan menjadi simbol komitmen berterusan Timor-Leste terhadap integrasi serantau melalui koperasi. ANGKASA dan ACO komited untuk meneruskan kerjasama erat dengan Timor-Leste demi membina masa depan ASEAN yang inklusif dan makmur bersama.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut berkongsi pandangan serta cadangan berkaitan koperasi sekolah kepada TYT Lisualdo Menezes Coimbra Gaspari.

Perbincangan ini berlangsung dalam semangat kerjasama serantau, khususnya dalam memperkukuhkan pembangunan koperasi sebagai platform pendidikan keusahawanan sejak di bangku sekolah.

Beliau juga menekankan kepentingan koperasi sekolah dalam membentuk sahsiah pelajar, memupuk semangat keusahawanan dan mengasah kemahiran pengurusan sejak usia muda. Cadangan yang dikemukakan mencerminkan komitmen Malaysia untuk berkongsi amalan terbaik dengan negara serantau seperti Timor-Leste, sekali gus memperluaskan jalinan kerjasama dalam kalangan negara ASEAN melalui pemerkasaan gerakan koperasi.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya, Anggota Lembaga ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Datuk Ahmad Jamil Hashim, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Ishak serta Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Dr. Noraini Mohamad.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine