Gerakan koperasi ASEAN terus diperhebat menerusi kunjungan hormat barisan kepimpinan ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan ANGKASA ke atas Duta Besar Myanmar ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Aung Soe Win di Kedutaan Besar Republik Kesatuan Myanmar di Kuala Lumpur hari ini (9 April 2025).
Kunjungan yang diketuai Setiausaha Agung ACO merangkap Anggota Lembaga ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail itu bertujuan untuk membincangkan peranan penting gerakan koperasi dalam pembangunan ekonomi serantau serta mendapatkan sokongan diplomatik bagi usaha pengiktirafan rasmi koperasi dalam kerangka ASEAN. Beliau yang mewakili Presiden ACO berkata, menerusi usaha itu juga, ACO dan ANGKASA berharap agar kerajaan Myanmar dapat menyokong usaha berkenaan, termasuk memberi pengiktirafan kepada ACO sebagai Entiti Bersekutu ASEAN.
Hadir sama ialah Bendahari ACO merangkap Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd. Azlan Yahya dan Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa ANGKASA, Dr. Noraini Mohamad.
Antara objektif utama pertemuan tersebut ialah memperjuangkan penubuhan satu platform rasmi koperasi ASEAN yang membolehkan gerakan koperasi menyuarakan pandangan dan cadangan berkaitan dasar secara lebih tersusun, seperti mana yang dinikmati oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui _ASEAN Coordinating Committee on SMEs_ (ACCSME). Platform itu diharap dapat meningkatkan keterlibatan koperasi dalam pertumbuhan ekonomi, ketahanan kewangan dan kesejahteraan sosial yang mampan di seluruh rantau tersebut.
Katanya, ACO juga berharap agar pengiktirafan sebagai Entiti Bersekutu ASEAN akan membuka akses koperasi kepada pelbagai inisiatif ekonomi dan perbincangan dasar di peringkat tertinggi, sekali gus memastikan koperasi diberi peluang dan sokongan yang sama seperti PKS dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
Selain itu, ACO turut memohon bantuan pihak kedutaan untuk menyampaikan usaha advokasi berkenaan kepada Kementerian Luar Negeri Myanmar dan kementerian berkaitan yang menyelia hal ehwal koperasi di negara tersebut. Dalam masa yang sama, TYT Aung Soe Win turut dijemput menghadiri _ASEAN Co-operative Dialogue_ (ACD 2025) yang bakal berlangsung dari 11 hingga 15 Mei 2025 serta bakal menjadi platform unggul bagi membincangkan hala tuju dan cabaran koperasi di peringkat serantau.
Dalam pada itu, TYT Aung Soe Win menyatakan sokongan pihak beliau terhadap inisiatif yang dibawa oleh ACO dan ANGKASA, serta mengakui potensi besar gerakan koperasi dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan di rantau ASEAN.
Beliau turut menyambut baik usaha memperkukuh jaringan kerjasama antara negara anggota ASEAN menerusi platform koperasi serantau yang lebih tersusun dan berstruktur.
Di samping itu, beliau turut menyatakan penghargaan atas bantuan kemanusiaan yang dihantar oleh Malaysia susulan kejadian gempa bumi yang melanda Myanmar baru-baru ini. Jelasnya, sokongan yang dihulurkan mencerminkan semangat solidariti ASEAN dalam membantu negara anggota yang terkesan dengan bencana.
Turut hadir ialah Menteri Penasihat Kedutaan Besar Republik Kesatuan Myanmar, Ms. Hla Thida Lynn dan Setiausaha Pertama Kedutaan Besar Republik Kesatuan Myanmar, Mrs. Khin Sandar Myint.