Seramai 100 ahli kariah Masjid Tabung Haji Kelana Jaya (MTHKJ) menerima sumbangan Bakul Makanan ANGKASA sempena Program Iftar Perdana anjuran masjid tersebut di Kelana Jaya pada 15 Mac 2026.
Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah kepada wakil-wakil lima buah surau dan sebuah musolla di bawah seliaan Masjid Tabung Haji Kelana Jaya.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kebajikan ANGKASA dalam membantu golongan kurang berkemampuan di samping mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat, selaras dengan peranan gerakan koperasi dalam menyantuni masyarakat.
Ketua Bahagian Pengurusan Modal Insan yang menanggung tugas Ketua Pegawai Modal Insan Tabung Haji, Haji Mohd Norber Kassim dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada ANGKASA atas kesudian menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di sekitar Kelana Jaya.
Beliau berkata, sumbangan tersebut bukan sahaja dapat membantu meringankan beban penerima malah turut disertai tajaan makanan bagi majlis berbuka puasa yang diadakan pada hari berkenaan.
Menurutnya lagi, pihaknya berharap fungsi masjid dan surau akan terus berkembang sebagai pusat pembangunan komuniti serta memberi impak positif kepada ahli kariah, khususnya golongan yang memerlukan bantuan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Nazir Masjid Tabung Haji Kelana Jaya, Ustaz Haji Shahrul Azam Noor Zeli.












