Suasana malam di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pulau Pinang bertukar meriah apabila kira-kira 4,000 peserta menyertai CIMB ASEAN Cultural Night Run @ Penang 2nd Bridge (CIMB ACNR 2025) pada 16 Ogos 2025.
Penganjuran program larian itu juga dibuat bersempena Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 yang mengetengahkan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, mencerminkan komitmen negara membina ASEAN yang bersatu, makmur dan lestari.
Acara yang bermula tepat jam 8:00 malam itu menawarkan tiga kategori, iaitu 21km (Separuh Maraton), 10km dan 5km Fun Run dengan latar pemandangan memukau di jambatan terpanjang negara yang diterangi cahaya malam.
Seramai 108 peserta tajaan ANGKASA turut menyertai kategori 5km sambil membawa bendera ANGKASA, Coop dan Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 (IYC2025) sekali gus menonjolkan semangat kesatuan koperasi di pentas antarabangsa.
Majlis pelepasan acara berprestij itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang melepaskan peserta bagi kategori 21km, 10km dan 5km.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan, EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, YB Gooi Zi Sen, EXCO Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Negeri Pulau Pinang, YB Fahmi Zainol, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad, Ketua Pengarah LLM, Dato’ Ir Haji Sazali Harun dan Pengerusi Koperasi Lembaga Lebuhraya Malaysia Berhad (KLLMB), Dato’ Idrus Mat Tais.
Turut hadir ialah Duta Besar Filipina ke Malaysia, Puan Yang Terutama Ms. Maria Angela Abrera Ponce dan Duta Besar Thailand ke Malaysia, Puan Yang Terutama Ms. Lada Phumas.
Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah juga hadir bagi melepaskan peserta VIP Walk dengan simbolik mengibarkan bendera ANGKASA.
Peserta tampil dengan semangat luar biasa, ramai antaranya mengenakan pakaian tradisional ASEAN yang mencetuskan suasana karnival, diwarnai persembahan muzik, tarian dan sorakan penonton sepanjang laluan.
Peserta juga berpeluang membawa pulang pelbagai ganjaran. Pemenang utama bagi kategori 21km dan 10km menerima hadiah wang tunai, selain hadiah berbentuk barangan seperti baucar barangan sukan. Penganjur turut menyediakan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik termasuk basikal, baucar percutian, barangan elektronik dan produk makanan, di samping hadiah untuk Pakaian Budaya Terbaik.
CIMB ACNR 2025 dianjurkan bersama oleh LLM dan KLLMB dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, ANGKASA, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang serta Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, manakala CIMB Bank adalah sebagai rakan utama.
Penganjuran tersebut bukan sahaja meraikan semangat kesukanan, malah bertujuan memupuk semangat muhibah dan toleransi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia, di samping menjadi produk pelancongan untuk negeri Pulau Pinang khususnya dan Malaysia amnya.
Acara itu juga membuka ruang memperkenalkan kepelbagaian budaya Malaysia kepada pelancong asing, mempromosikan gaya hidup sihat, mengukuhkan hubungan kekeluargaan serta pada masa sama memperkenalkan dan menggalakkan penggunaan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai laluan ikonik menuju ke Pulau Pinang.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia, Datuk Mohd Ali Mansor, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-Naib Presiden ANGKASA, iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Pengerusi ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Dato’ Haji Mohd Jamil Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim dan Pengurus Besar Bahagian Antarabangsa ANGKASA, Dr. Noraini Mohamad.


































































































