Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan yang perlu dimanfaatkan untuk memperbanyakkan amal kebajikan dan memperkukuh hubungan sesama masyarakat. Program seperti ini mencerminkan nilai kebersamaan dan keprihatinan yang menjadi teras gerakan koperasi.
Demikian disuarakan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam Majlis Iftar Ramadan anjuran ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Koperasi Masjid Al-Muttaqin Berhad bertempat di Masjid Al-Muttaqin, Taman Wangsa Melawati, Kuala Lumpur pada 6 Mac 2026.
“Bulan Ramadan bukan sahaja bulan untuk menahan lapar dan dahaga, tetapi juga peluang untuk memperbanyakkan amal ibadah, mengeratkan silaturahim serta meningkatkan empati terhadap mereka yang kurang bernasib baik,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, Majlis Iftar Ramadan ini mencerminkan komitmen berterusan gerakan koperasi dalam menyemarakkan nilai kebersamaan, keprihatinan dan semangat saling membantu dalam kalangan anggota serta masyarakat.
Timbalan Pengerusi Koperasi Masjid Al-Muttaqin Berhad, Haji Syed Abdullah Syed Nordin berkata, penganjuran majlis tersebut bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Majlis Iftar Ramadan ini juga katanya menjadi platform memperkukuh ukhuwah serta menyantuni komuniti setempat, khususnya golongan yang memerlukan. Program tersebut turut menghimpunkan anggota koperasi, kariah masjid serta masyarakat sekitar.
Pada majlis itu, ANGKASA turut menyampaikan sumbangan kepada 58 penerima asnaf bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang Ramadan dan sebagai persediaan menyambut Syawal.
Sumbangan zakat wakalah turut disalurkan oleh beberapa koperasi antaranya Koperasi Putri Terbilang Malaysia Berhad (KOPUTRI), Koperasi Ukhwah Malaysia Berhad, Koperasi Bersatu Tenaga Malaysia Berhad (KOBETA), Koperasi Pos Nasional Berhad (KOPONAS) serta Koperasi Tahfiz Ceria Kuala Lumpur Berhad.
Hadir sama di majlis tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA yang terdiri daripada Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain dan Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas kepada Presiden ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim.

























