Wednesday, November 5, 2025
HomeAKTIVITIAnalisa Perancangan Program Berasaskan Strategi dan Keutamaan

Analisa Perancangan Program Berasaskan Strategi dan Keutamaan

Setiap kumpulan dalam ANGKASA disaran supaya menganalisa semula perancangan program yang akan dilaksanakan pada tahun depan bagi menentukan mana yang perlu dijadikan sebagai keutamaan dan sebaliknya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh berkata, bagi mencapai peningkatan perolehan dan penetapan sasaran yang lebih baik, setiap kumpulan perlu mengambil inisiatif dengan membentuk pelbagai strategi yang sesuai dan komprehensif.

Katanya, idea mengklusterkan program-program mengikut keutamaan selain fokus kepada program yang khusus sahaja boleh menjadi satu pendekatan yang lebih efektif dalam usaha untuk mencapai sasaran yang lebih baik dan kos efektif.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam sesi rumusan dan penutupan Bengkel Pencapaian Prestasi 2025 dan Penetapan Sasaran ANGKASA 2026 bertempat di Auditorium ANGKASA, Kelana Jaya pada 30 Oktober 2025.

Dato’ Haji Abdullah turut menyatakan penghargaan dan keyakinan tinggi atas kerjasama yang ditunjukkan oleh tenaga pakar daripada luar yang dijemput bagi membantu ANGKASA merungkai setiap permasalahan selain menambahbaik beberapa pendekatan dalam usaha untuk mencapai standard industri serta meningkatkan perolehan ANGKASA.

Bengkel yang berlangsung selama empat hari bermula 27 Oktober 2025 itu menampilkan sebanyak 25 buah pembentangan melibatkan lima kumpulan dalam ANGKASA iaitu daripada Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran, Kumpulan Hubungan Strategik, Kumpulan Perniagaan Koperasi, Kumpulan Pembangunan Koperasi dan Kumpulan Kewangan Korporat.

Selain itu, beberapa siri pembentangan turut dibuat oleh beberapa buah anak syarikat di bawah MyANGKASA Holdings Sdn. Bhd. selain Bahagian Undang-Undang, Bahagian Korporat ANGKASA dan Bahagian Audit Dalam, Integriti dan Risiko.

Bengkel tersebut yang disertai oleh barisan kepimpinan dan pengurusan tertinggi ANGKASA itu dianjurkan oleh Kumpulan Hubungan Strategik bagi tujuan untuk menilai pencapaian prestasi 2025 selaras dengan objektif dan strategi yang telah ditetapkan.

Bengkel itu juga turut diisi dengan sesi libat urus dan percambahan minda khususnya dalam aspek perancangan tadbir urus, belanjawan serta penetapan sasaran keuntungan yang lebih realistik untuk tahun hadapan.

Hadir sama dalam sesi tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-Naib Presiden ANGKASA iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, barisan Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri, Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD) Kumpulan ANGKASA, Dato’ Shaharudin Mohd Sa’ad serta barisan pengurusan tertinggi ANGKASA.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine