ANGKASA telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Waix Technologies Sdn. Bhd. bagi membekalkan Platform Pembelajaran Digital yang dikenali dengan nama Smart Scoring kepada koperasi-koperasi sekolah di seluruh Malaysia.
Majlis yang diadakan pada 3 September 2025 di ANGKASA itu turut menyaksikan ASEAN Co-operative Organization (ACO) mengadakan Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Waix Technologies Sdn. Bhd. bagi membekalkan platform Smart Scoring ke seluruh negara ASEAN.
Smart Scoring merupakan sebuah aplikasi berasaskan teknologi digital yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan pembelajaran pelajar sekolah dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5. Aplikasi ini bertujuan untuk membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik mereka melalui pendekatan yang sistematik, interaktif dan menyeluruh. Dengan memanfaatkan teknologi moden, Smart Scoring menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik dan mudah diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Aplikasi tersebut juga direka untuk mengubah cara pelajar belajar dengan memperkenalkan ciri-ciri inovatif seperti video interaktif dan sistem penilaian automatik. Ia juga menyokong usaha pembelajaran pelajar dengan menyusun kandungan berdasarkan silibus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar selaras dengan keperluan akademik semasa.









Majlis pertukaran dokumen antara ACO dan Waix Technologies diwakili oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ACO, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Waix Technologies, Encik Thean Kai Shueng. Pertukaran dokumen antara ANGKASA dan Waix Technologies pula diwakili oleh Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Waix Technologies, Encik Thean Kai Shueng serta Pengarah Urusan Waix Technologies, Encik Akil Mohd Tahir.
Seramai 80 orang peserta melibatkan 30 buah koperasi sekolah sekitar Lembah Klang telah dijemput menghadiri majlis tersebut bagi mendengar taklimat tentang kelebihan aplikasi Smart Scoring serta peluang pemasarannya kepada pelajar sekolah.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi ANGKASA Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Ahli Jawatankuasa ANGKASA Wilayah Persekutuan, Haji Muhammad Asri Husin dan Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Haji Khairul Anuar Abdul Azid.