MyANGKASA Holdings Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat milik penuh ANGKASA telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Optimax Eye Specialist Centre di bawah Optimax Holdings Berhad sebagai usaha memperluas akses perkhidmatan kesihatan mata berkualiti kepada lebih tujuh juta anggota koperasi di seluruh negara.
Majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) itu yang berlangsung di The Mines Resort & Golf Club, Seri Kembangan pada 9 Mac 2026 telah disaksikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin. Turut mengiringi beliau ialah Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Optimax (OESC), Tan Sri Dato ‘ Dr. Tan Boon Hock.
Memorandum tersebut ditandatangani oleh Naib Presiden ANGKASA merangkap Anggota Lembaga Pengarah MyANGKASA Holdings Sdn. Bhd., Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Optimax Eye Specialist Centre, Puan Sandy Tan Sing Yee.
Kerjasama strategik antara Optimax Eye Specialist Centre dan ANGKASA melalui MyANGKASA Holdings Sdn. Bhd. (MHSB) membuka lembaran baharu dalam memperluas akses rawatan kesihatan mata kepada masyarakat, khususnya warga koperasi di seluruh negara.
Inisiatif ini disifatkan sebagai antara program kesihatan mata terbesar di Malaysia yang melibatkan 24 cawangan Optimax termasuk di Sabah dan Sarawak, sekali gus mempercepatkan tempoh menunggu rawatan serta memanfaatkan teknologi oftalmologi terkini.
Datuk Mohamad Alamin dalam ucapannya berkata, kerjasama strategik antara Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad melalui MyANGKASA Holdings Sdn. Bhd. (MHSB) dan Optimax Eye Specialist Centre membuka ruang kepada koperasi untuk memainkan peranan lebih besar dalam membantu anggota mendapatkan akses kepada rawatan kesihatan mata yang berkualiti.
Menurut beliau, kerjasama ini turut membuka ruang kepada koperasi untuk berperanan sebagai rakan pembiaya serta pemudah cara kepada anggota dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan mata sekali gus selaras dengan aspirasi memperkukuh fungsi koperasi sebagai institusi ekonomi rakyat yang bukan sahaja menjana keuntungan tetapi turut menjaga kebajikan anggota.
Inisiatif melalui pemeteraian MoU tersebut juga mencerminkan komitmen bersama dalam meningkatkan akses, kualiti dan kesedaran penjagaan kesihatan mata di Malaysia demi kesejahteraan masyarakat serta produktiviti negara.
Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi MyANGKASA Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam ucapannya berkata, kerjasama tersebut merupakan satu langkah penting dalam meningkatkan akses kepada rawatan kesihatan mata dalam kalangan warga koperasi.
Menurut beliau, program ini memberi peluang kepada anggota koperasi untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan kesihatan mata melalui kaedah potongan gaji yang lebih mudah, tersusun dan mampu milik.
Beliau turut menjelaskan bahawa dengan lebih 7.2 juta anggota koperasi di seluruh negara, inisiatif tersebut berpotensi memberi manfaat besar terutama kepada mereka yang sebelum ini berdepan kekangan kos untuk mendapatkan rawatan pakar.
Kerjasama strategik itu memperkenalkan kemudahan rawatan kesihatan mata kepada anggota koperasi melalui Skim Potongan Gaji ANGKASA (e-SPGA). Inisiatif ini membolehkan anggota mendapatkan pemeriksaan mata, rawatan rabun serta rawatan katarak dengan kaedah pembayaran lebih mudah melalui potongan gaji secara bulanan.
Selain itu, kerjasama dengan Optimax juga dipilih berdasarkan kepakaran dan reputasi syarikat tersebut dalam menyediakan rawatan mata moden termasuk rawatan laser penglihatan dan katarak melalui rangkaian pusat rawatan pakar di pelbagai lokasi.
Timbalan Pengerusi Eksekutif Optimax Eye Specialist Centre, Tan Sri Dato’ Dr. Tan Boon Hock berkata, kerjasama tersebut bukan sahaja memperluas akses rawatan tetapi turut memberi manfaat besar kepada sektor koperasi.
“Kerjasama ini membuka lembaran baharu sebagai antara program kesihatan mata terbesar di Malaysia dengan akses melibatkan 24 cawangan Optimax di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, di samping tempoh menunggu rawatan yang lebih pantas serta penggunaan teknologi oftalmologi terkini”, ujar beliau.
Optimax yang merupakan antara pusat refraktif mata terawal di Malaysia menawarkan pelbagai rawatan termasuk pembetulan rabun, katarak, glaukoma dan retinopati diabetik, malah turut menerima pesakit dari negara serantau seperti Indonesia, Kemboja, Thailand, Singapura dan China.
Kerjasama ini dijangka meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan mata serta menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan Optimax sekitar 20 hingga 30 peratus, di samping memperkukuh usaha bersama dalam meningkatkan kualiti dan akses rawatan mata di Malaysia.
Hadir sama di majlis tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib Presiden ANGKASA iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Anggota Lembaga ANGKASA (Wakil Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP), Encik Azizul Alias, Penasihat Korporat (Sektor Kewangan) ANGKASA, Puan Rihatun Abddah Meor Zainal Abidin, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, Penasihat Khas MyANGKASA Holdings Sdn Bhd (MHSB), Encik S. Ahlaimuniandy, Pengerusi Optimax Holdings, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas kepada Presiden ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim.






















