Oleh: Nor Lela Abdul Ghani
ANGKASA menyatakan sokongan terhadap usaha memperkukuh peranan Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) dalam jawatankuasa serantau serta inisiatif pembangunan koperasi bagi memperluas jangkauan keanggotaan dan memperkasakan penglibatan organisasi itu dalam proses membuat keputusan dasar di peringkat Asia Pasifik.
Perkara tersebut disuarakan oleh Presiden ANGKASA merangkap Naib Presiden ICA-AP, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam Mesyuarat Lembaga Serantau ICA-AP yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 11 Mac 2026.
Menurut beliau, Lembaga ICA-AP perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memperluas jangkauan keanggotaan di subrantau masing-masing selain mempertimbangkan penubuhan kumpulan kecil keanggotaan bagi memperkukuh penglibatan anggota dalam pelaksanaan program koperasi.
Langkah itu selaras dengan usaha memperluas penglibatan gerakan koperasi ke arah pembentukan struktur ekonomi yang lebih saksama dan seimbang melalui kerjasama formal dan tidak formal antara koperasi anggota di negara-negara Asia Pasifik.
“Kerjasama strategik antara koperasi di peringkat serantau bukan sahaja dapat memperluas peluang perniagaan, malah mampu mengukuhkan peranan koperasi sebagai model ekonomi berteraskan rakyat untuk menjana perubahan sebenar menerusi matlamat bersama,” katanya.
Beliau berkata peranan ANGKASA mewakili Malaysia melalui penubuhan Malaysia Business Office (MBO) pada 2013 serta tanggungjawab mempengerusikan Jawatankuasa Perniagaan dan Perdagangan ICA-AP akan terus diperkasa bagi memperluas kerjasama ekonomi koperasi di peringkat serantau.
“Tumpuan juga akan diberikan kepada pembangunan pelancongan koperasi serta usaha mempergiat pemasaran produk koperasi selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026,” tambah beliau.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) berkata pengukuhan jaringan kerjasama koperasi amat penting bagi memastikan gerakan tersebut terus relevan sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi masyarakat.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden ICA-AP, Dr. Chandrapal Singh Yadav menghimpunkan barisan kepimpinan koperasi dari pelbagai negara Asia Pasifik bagi membincangkan hala tuju pembangunan koperasi di rantau tersebut. Turut hadir Naib Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk pelaksanaan Pelan Strategik ICA-AP 2026–2030 yang memberi tumpuan kepada usaha memperluas peluang inklusif dalam koperasi, memperkukuh rangka kerja dasar dan peraturan, meningkatkan daya saing perniagaan koperasi serta memperkukuh jaringan kerjasama di rantau Asia Pasifik.
Mesyuarat turut meneliti pelaksanaan program pembangunan koperasi serantau, pengukuhan rangkaian kerjasama antara koperasi anggota serta usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap model perniagaan koperasi sebagai pemacu pembangunan ekonomi berasaskan komuniti.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perniagaan dan Perdagangan ICA-AP, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh membentangkan perkembangan aktiviti jawatankuasa tersebut. Aktiviti berkenaan memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu mesyuarat strategik, penyertaan dalam pameran perdagangan serta platform perkongsian ilmu bagi memperkukuh kerjasama perdagangan koperasi di rantau Asia Pasifik.
Beliau berkata inisiatif tersebut berjaya memperluas jaringan perdagangan koperasi melalui penyertaan dalam forum perdagangan antarabangsa, pameran global serta pelaksanaan program pembangunan kapasiti bagi meningkatkan akses pasaran produk koperasi di peringkat serantau dan global.
Selain itu, sesi induksi ICA-AP yang dikendalikan oleh Prof. Hak Seng Ang dari Singapore Institute of Social Sciences turut diadakan bagi memberi penerangan mengenai struktur tadbir urus ICA-AP, peranan lembaga serantau serta tanggungjawabnya dalam memperkukuh pembangunan koperasi di rantau Asia Pasifik.
Sebanyak 11 agenda utama telah dibentangkan termasuk laporan aktiviti serta perkembangan program ICA-AP, laporan kewangan dan keanggotaan, laporan Jawatankuasa Wanita dan Jawatankuasa Belia ICA-AP, perkembangan program kerjasama antarabangsa termasuk projek ICA-EU, perbincangan Pelan Strategik ICA-AP 2026–2030 serta potensi kerjasama perniagaan koperasi di rantau Asia Pasifik.








