Friday, April 3, 2026
HomeANTARABANGSAANGKASA Tinjau Model Koperasi Tenusu Nong Pho di Thailand

ANGKASA Tinjau Model Koperasi Tenusu Nong Pho di Thailand

Oleh: Nor Lela Abdul Ghani

Delegasi Malaysia yang menghadiri Mesyuarat Lembaga Serantau Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) di Bangkok, Thailand meneruskan agenda lawatan kerja dengan meninjau model kejayaan Nong Pho Ratchaburi Dairy Cooperative Limited (Nong Pho), antara koperasi tenusu terbesar di Thailand yang terletak di Wilayah Ratchaburi pada 12 Mac 2026.

Delegasi ANGKASA diketuai oleh Presidennya yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden ICA-AP, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah. Turut serta ialah Naib Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.

Kunjungan tersebut disambut oleh Naib Presiden Nong Pho, Mr. Sombat Pradabkeaw bersama Pengurus Koperasi, Mr. Thong Chai Deekan yang turut memberikan taklimat mengenai perkembangan industri tenusu yang diterajui koperasi berkenaan.

Lawatan yang diatur oleh ICA-AP itu memberi peluang kepada delegasi meninjau secara dekat operasi koperasi yang kini merupakan koperasi tenusu ketiga terbesar di Thailand. Nong Pho dianggotai kira-kira 2,000 penternak lembu tenusu dan mampu mengumpul sekitar 130 tan susu segar setiap hari dengan nilai hasil tahunan mencecah kira-kira 3 bilion baht.

Koperasi yang telah beroperasi lebih 40 tahun itu ditubuhkan bagi memenuhi aspirasi dan hasrat murni mendiang Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej dalam memperkukuh pembangunan industri tenusu negara serta meningkatkan taraf hidup penternak.

Nong Pho menghasilkan pelbagai produk tenusu termasuk susu pasteur, susu UHT serta produk berasaskan susu yang dipasarkan ke seluruh Thailand. Selain aktiviti pemprosesan susu menggunakan mesin moden, koperasi tersebut turut mengendalikan pelbagai aktiviti perniagaan dan perkhidmatan bagi menyokong pembangunan anggota.

Antara aktiviti tersebut termasuk perniagaan kredit dan simpanan bagi membantu anggota mengembangkan perusahaan penternakan, kilang makanan ternakan, perkhidmatan pengembangan pertanian serta stesen minyak untuk kemudahan anggota dan orang awam.

Koperasi berkenaan turut mengendalikan kafe Dairy Hut yang menjual produk tenusu seperti susu dan ais krim serta kedai serbaneka yang menawarkan pelbagai barangan keperluan harian. Selain itu, koperasi juga membiayai pendidikan anak-anak anggota sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya.

Produk tenusu Nong Pho turut menembusi pasaran serantau melalui eksport ke beberapa negara jiran termasuk Laos, Kemboja dan Myanmar sekali gus mencerminkan kejayaan koperasi tersebut dalam membangunkan rantaian nilai industri tenusu yang mampan.

Melalui lawatan tersebut, delegasi ANGKASA berpeluang melihat secara langsung model kejayaan koperasi agribisnes di Thailand yang bukan sahaja membantu penternak kecil meningkatkan pendapatan, malah menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat dan industri makanan berasaskan tenusu di negara itu.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine