ANGKASA terus memperkukuh komitmen tanggungjawab sosialnya menerusi Program CoopCare Rezeki Ramadan ANGKASA 2026/1447H dengan menyantuni ahli Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) di Bukit Melawati, Kuala Lumpur hari ini (14 Mac 2026).
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan diterima oleh Pemangku Presiden PKAVM, Puan Sandakiah Azez.
Melalui inisiatif ini, sebanyak 100 pek barangan keperluan harian di bawah Projek Barang Asas 100 (BA100) diserahkan kepada penerima. Pek tersebut mengandungi barangan asas seperti beras, minyak masak, tepung gandum dan pelbagai keperluan dapur lain bagi membantu meringankan beban penerima, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Program CSR CoopCare bersama ahli PKAVM ini merupakan penganjuran kali kelima sejak tahun 2022, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan ANGKASA dalam menghargai jasa dan sumbangan artis veteran yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan industri seni tanah air.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut mendoakan agar para artis veteran sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta terus bersemangat dalam memberi inspirasi dan sumbangan kepada dunia seni tempatan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Timbalan Pengerusi ANGKASA Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Mohd Nasir Ramli.



























