Monday, March 16, 2026
HomeAGENSIMajlis Khatam Al-Quran ANGKASA 2026 Semarakkan Bulan Ramadan

Majlis Khatam Al-Quran ANGKASA 2026 Semarakkan Bulan Ramadan

Suasana ceria jelas terlihat dan dikongsikan bersama oleh seluruh warga kerja ANGKASA yang hadir bersama-sama menjayakan Majlis Khatam Al-Quran ANGKASA sempena Bulan Ramadan 1447 Hijrah/2026 pada hari ini (16 Mac 2026) bersekali dengan Sesi Bersama Presiden bagi bulan Mac 2026.

Majlis khatam tersebut yang menjadi penutup tirai sambutan bulan Ramadan yang disempurnakan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah di Auditorium, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya.

Menurutnya, Ramadan yang dilalui mendidik dari sudut ibadah serta mengajar nilai disiplin, kejujuran, kesabaran dan tanggungjawab dalam melaksanakan amanah yang dipikul.

“Semangat Ramadan sepatutnya menuntut kita menjadi lebih berdisiplin dan berintegriti dalam tugasan harian selain produktiviti kerja tidak boleh terjejas, malah setiap tugasan dilaksanakan dengan lebih tersusun, cekap dan berkesan.

Produktiviti dalam melibatkan soal kualiti, kecekapan dan komitmen terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan”, ujarnya.

Beliau percaya warga ANGKASA memahami bahawa setiap usaha yang dilakukan dapat memberi impak secara langsung kepada organisasi.

Sehubungan itu, beliau berharap semua kumpulan, bahagian dan seksyen di ANGKASA terus mengekalkan momentum kerja yang positif.

Dalam konteks kebajikan dalaman pula, beliau dimaklumkan bahawa Bahagian Korporat ANGKASA telah menggerakkan satu inisiatif murni melalui Tabung Kasih Warga ANGKASA. Inisiatif ini digerakkan dengan semangat kebersamaan dan keprihatinan sesama warga organisasi.

Melalui sumbangan yang dikumpulkan dalam tabung ini, warga ANGKASA menyalurkan bantuan dalam bentuk tunai dan akan ditukar kepada bentuk barangan keperluan asas bagi diagihkan kepada warga ANGKASA yang memerlukan.

Usaha ini katanya mencerminkan nilai agama dan semangat kekeluargaan yang menjadi teras kepada budaya kerja dalam organisasi selain melambangkan keprihatinan terhadap kebajikan rakan sekerja.

Menjelang sambutan Aidilfitri, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga ANGKASA atas komitmen kerja yang ditunjukkan dan kepada yang akan pulang ke kampung halaman, pandu berhati-hati dan kembali bekerja dengan semangat baharu demi terus memperkukuh organisasi ANGKASA.

Seramai 171 orang kakitangan daripada 15 kumpulan dari seluruh ANGKASA Negeri terlibat dalam Program Tadarus Al-Quran yang menjadi acara tahunan ANGKASA.

Majlis tersebut diketuai oleh Pengurus Seksyen Pematuhan Syariah dan Pusat Jagaan Darul Sakinah, Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Syariah (BPPS), Encik Mohamad Azahari Ahmad.

Selain khatam, majlis turut diserikan dengan seri rakaman audio visual takbir raya dan rakaman ucapan salam Aidilfitri oleh warga kerja ANGKASA.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA yang terdiri daripada Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Anggota Lembaga ANGKASA (KUSKOP), Encik Azizul Alias, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, Pengerusi ANGKASA Negeri Terengganu, Haji Mohamed Yusoff dan barisan pengurusan kanan ANGKASA.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine