Tuesday, October 14, 2025
HomeAKTIVITIANGKASA Seru Negara Asia Pasifik Laksanakan Model Koperasi Malaysia

ANGKASA Seru Negara Asia Pasifik Laksanakan Model Koperasi Malaysia

Program 2nd Series of the International Cooperative Training anjuran ANGKASA melalui Bahagian Antarabangsa di bawah ICA-AP Malaysia Business Office (MBO) melabuhkan tirainya hari ini dengan gesaan kepada negara peserta untuk membawa pulang dan melaksanakan model koperasi komuniti yang terbukti berjaya di Malaysia.

Presiden ANGKASA merangkap Naib Presiden International Cooperative Alliance – Asia and Pacific (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, latihan lima hari yang berlangsung pada 23-27 September 2025 itu bukan sekadar sesi teori, tetapi memberi pengalaman langsung kepada peserta dalam memahami peranan koperasi dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat.

“Latihan ini juga merupakan langkah awal dalam penguasaan ilmu yang diperoleh di sini, kemudiannya menjadi benih yang wajar ditanam serta disuburkan di negara tuan-tuan dan puan-puan sendiri,” katanya dalam ucapan penutup di Koperasi Bersatu Maju Hulu Chuchoh (KOBEMAH), Sepang, Selangor, pada hari ini, 25 September 2025.

Seramai hampir 30 peserta menyertai program ini yang terdiri daripada delegasi kementerian dan pemimpin koperasi dari beberapa negara Asia Pasifik termasuk Vietnam, Filipina, Palestin, dan Thailand, dengan fokus kepada dua model utama iaitu Koperasi Sekolah dan Koperasi Kariah Masjid.

Malaysia kini mempunyai hampir 2,500 koperasi sekolah, dengan lebih 40 daripadanya mencatat pendapatan tahunan melebihi RM1 juta. Sementara itu, lebih 570 Koperasi Komuniti Masjid telah diwujudkan di seluruh negara dengan nilai aset melebihi RM37 juta.

“Kedua-dua model ini jelas membuktikan koperasi boleh menjadi alat pembangunan yang efektif apabila dibentuk berdasarkan keperluan setempat,” tambah beliau.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut berharap peserta akan pulang ke tanah air masing-masing bukan sekadar sebagai peserta, tetapi sebagai rakan strategik yang membawa perubahan di negara masing-masing.

Program ini merupakan sebahagian usaha ANGKASA memperkukuh jaringan serantau dan membina kapasiti pemimpin koperasi sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai peneraju gerakan koperasi global.

Terdahulu, peserta turut berkesempatan dibawa melawat ke Koperasi SMK Seri Puteri Cyberjaya Bhd, Koperasi Masjid Al Hasanah Bandar Baru Bangi Bhd dan mendengar taklimat daripada KOBEMAH.

Hadir sama ialah Pengerusi KOBEMAH, Encik Shafie Waris dan Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine