Thursday, July 31, 2025
HomeANTARABANGSACIMT Komited Bantu ANGKASA Bawa Agenda Koperasi ke Peringkat ASEAN

CIMT Komited Bantu ANGKASA Bawa Agenda Koperasi ke Peringkat ASEAN

Pusat Kerjasama Serantau IMT-GT (CIMT) menyatakan komitmen untuk membantu ANGKASA dan ASEAN Co-operative Organization (ACO) mendapatkan sokongan daripada komuniti IMT-GT, khususnya kerajaan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT), dalam usaha membawa agenda koperasi ke peringkat ASEAN.

Komitmen itu dinyatakan dalam satu sesi perbincangan rasmi yang berlangsung di Putrajaya pada 16 Julai 2025 antara CIMT dengan delegasi ANGKASA yang diketuai oleh Naib Presiden ANGKASA merangkap Setiausaha Agung ACO, Dato’ Haji Kamarudin Ismail.

Pengarah CIMT, Encik Amri Bukhairi Baktiar berkata, pihaknya melihat potensi besar yang dimiliki ANGKASA untuk membantu memperkasa sektor koperasi di ketiga-tiga negara IMT-GT. Justeru, CIMT mencadangkan agar ANGKASA dan ACO bergerak aktif di bawah Majlis Kerjasama Perniagaan (Joint Business Council) yang dikelolakan oleh CIMT sendiri.

Beliau turut menyarankan agar usul berkaitan koperasi dibawa ke Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (ASEAN Economic Ministerial Meeting), dengan memanfaatkan hubungan rapat CIMT bersama Kementerian Ekonomi Indonesia, Malaysia dan Thailand. Hal ini bagi membolehkan sektor koperasi dipertimbangkan untuk dimasukkan di bawah Tunjang Ekonomi ASEAN (ASEAN Economic Pillar).

Dalam sesi sama, CIMT turut mengucapkan tahniah kepada ANGKASA atas kejayaan menganjurkan ASEAN Cooperative Dialogue 2025 (ACD2025) pada Mei lalu. Menurut Encik Amri, tahap keterlihatan koperasi di peringkat serantau kini lebih baik daripada sebelumnya.

CIMT juga menyatakan minat untuk memperluas kolaborasi dengan ANGKASA dalam program berasaskan komuniti seperti Model Koperasi Kariah Masjid dan Model Koperasi Sekolah.

Dato’ Haji Kamarudin dalam ucapannya berharap lebih banyak program bersama dapat dianjurkan, termasuk kesinambungan Program Pengenalan Gerakan Koperasi kepada Komuniti IMT-GT.

Beliau turut menyarankan agar penubuhan Majlis Kerjasama Koperasi (Cooperative Joint Council) direalisasikan untuk mengukuhkan kerjasama koperasi merentasi sempadan IMT-GT.

Turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut ialah Timbalan Pengarah CIMT, Encik Muhammad Hafiz Hannibal dan Pengurus Besar Bahagian Antarabangsa ANGKASA, Dr. Noraini Mohamad.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine