Thursday, July 31, 2025
HomeAKTIVITIMelaka Komited Jadi Hab Koperasi Negara

Melaka Komited Jadi Hab Koperasi Negara

Kerajaan Negeri Melaka menyatakan komitmen padu untuk muncul sebagai Hab Koperasi Negara, sekali gus memainkan peranan lebih besar dalam memacu pembangunan gerakan koperasi di Malaysia.

Demikian disuarakan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sewaktu berucap dalam Majlis Penutupan Hari Koperasi Negara 2025 (HKN’25) di Melaka International Trade Centre (MITC), Alor Gajah pada 27 Julai 2025.

“Hasrat kami di Melaka jelas. Kami tidak mahu sekadar menjadi pemerhati dalam landskap koperasi nasional. Bahkan, kerajaan negeri bertekad untuk tampil sebagai Hab Koperasi Negara, sebuah negeri perintis yang melatih, membimbing dan mencipta model koperasi masa depan”, jelasnya.

Katanya lagi, sebagai sebuah gerakan yang telah bertapak lebih satu abad dalam sejarah negara, koperasi bukan lagi sekadar entiti ekonomi di peringkat tempatan, malah berdiri sebagai tonggak penting dalam ekosistem pembangunan sosioekonomi nasional.

Datuk Seri Utama Ab Rauf turut memaklumkan bahawa Melaka mencatatkan prestasi kukuh dalam sektor koperasi, dengan 504 koperasi berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melibatkan 172,690 anggota.

“Lebih signifikan, jumlah perolehan koperasi di negeri ini mencecah 181 juta ringgit. Ini bukan sahaja menunjukkan peningkatan sebanyak RM24.76 juta ringgit berbanding tahun sebelumnya, malah mencipta rekod tertinggi sejak tahun 2018.

“Dalam pada itu, koperasi-koperasi di Melaka turut berjaya mengumpul modal syer sebanyak RM107.05 juta ringgit, manakala nilai aset keseluruhan melonjak kepada RM598.66 juta ringgit”, ujar beliau.

Bagi memperkukuh ekosistem koperasi, kerajaan negeri katanya terus komited melaksanakan inisiatif pembangunan berasaskan komuniti melalui kerjasama rapat bersama Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan.

Antara inisiatif tersebut adalah peruntukan tambahan sebanyak RM300 ribu menerusi Bajet Negeri Melaka 2025 di bawah Geran Pemerkasaan Koperasi Kluster Mikro (e-Mikro). Menerusi skim itu, setiap koperasi layak memohon sehingga RM10 ribu – dengan pecahan maksimum RM7 ribu bagi perolehan peralatan dan RM3 ribu sebagai modal pusingan.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Ewon Benedick dalam ucapannya berkata, Kerajaan Persekutuan telah menetapkan Hari Koperasi Negara disambut secara rasmi pada hari Sabtu, minggu ketiga bulan Julai setiap tahun.

Langkah itu katanya, merupakan bentuk pengiktirafan terhadap sumbangan besar gerakan koperasi dalam pembangunan negara.

“Hari Koperasi Negara ini adalah ibarat hari raya bagi gerakan koperasi yang mana ia disambut secara besar-besaran melibatkan warga koperasi seluruh negara. Ia juga merupakan pentas untuk memasyarakatkan koperasi dalam kalangan setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Katanya, tema sambutan tahun 2025, ‘Koperasi Memperkasa Komuniti, Membina Negara Madani’, menyerlahkan peranan koperasi sebagai wahana utama dalam menyatu hati rakyat, menggerak daya usaha dan membina ekonomi yang berpaksikan nilai, keberkatan serta kesejahteraan bersama.

“Sebagai sebagai entiti social solidarity economy yang telah wujud lebih 100 tahun di Malaysia, koperasi bukan sekadar organisasi, malah nadi harapan rakyat yang berdenyut dalam semangat kebersamaan dan tanggungjawab bersama. Ia mencerminkan aspirasi untuk membina kehidupan yang lebih adil dan sejahtera,” tambahnya.

Dalam majlis yang sama, Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad diumumkan sebagai pemenang tempat pertama Anugerah Koperasi Terbaik 2025 dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20 ribu. Tempat kedua dimenangi oleh Koperasi Tenaga Nasional Berhad (RM15 ribu), manakala tempat ketiga disandang oleh Koperasi Ladang Berhad (RM10 ribu).

Hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, YB Datuk Wira Haji Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, YB Dato’ Azhar Haji Arshad, EXCO Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Kerajaan Negeri Melaka, YB Tuan Allex Seah Shoo Chin, Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B), Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Mohd Ali Mansor dan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Turut menyerikan majlis adalah penyerahan beberapa cek cura melibatkan pelbagai inisiatif pembangunan koperasi. Antaranya, cek cura berjumlah RM10 juta diserahkan kepada Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) bagi melaksanakan Geran Program Pendidikan Jangka Panjang dan Penyelidikan untuk tempoh lima tahun.

Selain itu, SKM turut menyampaikan cek cura Pembiayaan Tabung Modal Pusingan berjumlah RM42,832,900. 00 kepada 41 koperasi yang telah diluluskan permohonannya.

Manakala, sebanyak 12 koperasi terpilih menerima cek cura Bantuan Program Pembangunan Perniagaan Melalui Koperasi (PPMK 2.0) dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1 juta.

Barisan kepimpinan ANGKASA yang hadir ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-Naib Presiden ANGKASA terdiri daripada Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa serta Anggota-Anggota Lembaga ANGKASA iaitu, Encik Azizul Alias (wakil KUSKOP) dan Encik Ezleezan Othman (wakil Kementerian Kewangan Malaysia).

Turut hadir ialah barisan Jawatankuasa ANGKASA Negeri, barisan Jawatankuasa Audit Dalaman yang dipengerusikan oleh Dato’ Haji Shaharudin Mohd Sa’ad, barisan Penasihat Korporat ANGKASA serta barisan Pengurusan Tertinggi ANGKASA yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine