Oleh: Muhammad Firdaus Borhan, Pengurus Seksyen Pembangunan Perniagaan Antarabangsa / ASEAN Co-operative Organization, Bahagian Antarabangsa ANGKASA
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah telah hadir bagi meraikan sambutan hari kemerdekaan Republik Azerbaijan yang ke-107 di JW Marriot Hotel, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 29 Mei 2025.
Majlis sambutan tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Yang-Dipertua Dewan Rakyat, YB Dato’ Dr. Ramli Dato’ Mohd. Nor,
Sebelum ini, pihak ANGKASA telah menerima jemputan rasmi daripada Duta Besar Republik Azerbaijan ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Mr. Irfan Davudov. Jemputan yang diterima itu juga adalah lanjutan daripada program advokasi berkaitan penubuhan Majlis Kerjasama Koperasi OIC (OIC Co-operative Union) pada bulan April 2025. Pihak Azerbaijan dilihat begitu positif dalam menyokong hasrat ANGKASA untuk membina sebuah platform bagi mengukuhkan kedudukan sosioekonomi penduduk Muslim di seluruh dunia melalui gerakan koperasi.
Bagi ANGKASA, kerjasama tersebut merupakan satu pengiktirafan daripada Republik Azerbaijan terhadap gerakan koperasi di Malaysia selain mencari solusi bagi meningkatkan lagi taraf ekonomi penduduk Muslim di peringkat global, seterusnya menggalakkan kerajaan republik tersebut untuk melihat gerakan koperasi sebagai salah satu wadah pembangunan ekonomi yang boleh diterokai pada masa hadapan.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah juga berkesempatan untuk bertemu dan berbual bersama dengan Duta Besar Kazakhstan ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Mr. Bulat Sugurbayev bagi menyampaikann hasrat untuk bertemu pihak kedutaan negara tersebut dalam masa terdekat bagi membincangkan berkenaan dengan cadangan penubuhan OIC-CU, seterusnya mendapatkan sokongan daripada Kazakhstan terhadap program advokasi yang dijalankan oleh ANGKASA.
Berdasarkan data daripada Agroberichten Buitenland, terdapat lebih daripada 3,911 buah koperasi di negara tersebut dengan lebih daripada 39,400 anggota. Majoriti koperasi di negara itu terlibat dalam bidang agrikultur.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah juga turut bertemu dengan duta besar Georgia, Tuan Yang Terutama Mr. Irakli Asashvili dan kesempatan tersebut digunakan bagi mencari peluang untuk berbincang berkenaan peluang yang dapat diterokai oleh gerakan koperasi di negara tersebut.
Georgia merupakan sebuah negara majoriti Kristian yang mempunyai lebih daripada 300 buah koperasi dan lebih 50 buah koperasi di negara tersebut menjadikan pembekalan sumber tenaga elektrik sebagai perniagaan utama mereka.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah yakin bahawa terdapat banyak potensi yang dapat diterokai melalui program advokasi dan kerjasama bersama negara-negara OIC dan dalam masa terdekat juga, pihak ANGKASA akan mengadakan satu perbincangan bersama dengan Agensi Eksport dan Penggalakan Pelaburan Azerbaijan (AZPROMO), sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi negara tersebut bagi tujuan eksplorasi peluang perniagaan gerakan koperasi.
Wakil ANGKASA yang hadir mengiringi Presiden ANGKASA ialah Pengurus Besar Bahagian Antarabangsa ANGKASA, Dr. Noraini Mohamad.










