Thursday, October 16, 2025
HomeAGENSIProgram Mesra Boling ANGKASA Eratkan Hubungan Bersama Majikan Swasta

Program Mesra Boling ANGKASA Eratkan Hubungan Bersama Majikan Swasta

Suasana penuh mesra dan semangat kekitaan menyerikan Program Mesra Boling ANGKASA Bersama Majikan Swasta yang telah berlangsung dengan jayanya di Wangsa Bowl, Petaling Jaya, Selangor pada 28 September 2025.

Program anjuran ANGKASA menerusi Bahagian Perkhidmatan Kredit & Kewangan ini telah dirasmikan oleh Presiden ANGKASA,Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah. Bermula seawal jam 9:30 pagi, program ini menghimpunkan wakil daripada pelbagai syarikat swasta dalam suasana santai.

Menurut Datuk Seri Dr. Abdul Fattah, program ini merupakan satu platform penting dalam usaha memperkukuh jalinan kerjasama antara ANGKASA dan pihak majikan swasta baru, sejajar dengan matlamat memperkasa ekonomi koperasi melalui jaringan strategik yang lebih menyeluruh.

“Melalui program sebegini, kita bukan sahaja dapat memupuk hubungan yang lebih erat, malah membuka ruang kepada peluang kerjasama yang lebih luas antara sektor koperasi dan industri,” ujar beliau dalam ucapan perasmian.

Selain berperanan sebagai wadah memperkenalkan fungsi serta kelebihan sistem potongan gaji ANGKASA, program ini turut menjadi medan perbincangan dua hala yang lebih santai, terbuka dan membina.

Acara kemuncak menyaksikan pertandingan boling persahabatan yang melibatkan 19 pasukan dari ANGKASA dan syarikat swasta. Antara kategori yang dipertandingkan termasuk Individu Terbaik, Pasukan Paling Ceria, dan Pasukan Skor Tertinggi.

Majlis turut dimeriahkan dengan sesi bergambar bersama Presiden ANGKASA, penyampaian hadiah kepada para pemenang serta jamuan santai yang menutup tirai program dengan penuh kemesraan dan semangat kekeluargaan.

ANGKASA berharap inisiatif seumpama ini dapat dijadikan acara tahunan dalam usaha merapatkan hubungan antara sektor koperasi dan swasta, ke arah membina ekosistem ekonomi yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing.

Hadir sama ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan), Datuk Ahmad Jamil Hashim, Penasihat Korporat (Sektor Koperasi), Datuk Haji Md. Yusof Samsudin, dan Pengurus Besar Kumpulan Kewangan Korporat, Encik Darulnizam Mat Darus.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine