Tuesday, March 3, 2026
HomeAKTIVITIWakalah Zakat ANGKASA Bantu Tingkat Martabat Pendidikan dan Ekonomi Asnaf

Wakalah Zakat ANGKASA Bantu Tingkat Martabat Pendidikan dan Ekonomi Asnaf

Usaha ANGKASA dalam memartabatkan institusi pendidikan menerusi sumbangan Wakalah Zakat amat dihargai dan wajar dijadikan sebagai contoh dan ikutan kepada semua.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, berkata inisiatif dalam meningkatkan kualiti pelajar sesuai dengan lapangan pendidikan moden amat memerlukan perancangan strategi yang betul, pantas dan disokong dengan bajet yang mencukupi dan bersesuaian, selaras dengan teras pendidikan moden itu sendiri.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam majlis pelancaran ‘Maker Lab’ dan Penyerahan Wakalah Zakat ANGKASA Pulau Pinang kepada Asnaf Koperasi bertempat di Maahad Al-Mashoor Al Islami, Balik Pulau, Pulau Pinang pada 6 Februari 2026.

Sementara itu, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dalam ucapannya berkata, selain berusaha meningkatkan taraf sosioekonomi koperasi, ANGKASA juga cakna terhadap usaha meningkatkan kualiti pendidikan anggota koperasi khususnya pelajar yang memerlukan.

Beliau yang mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah mengucapkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada Pusat Zakat Pulau Pinang atas kepercayaan yang diberikan kepada ANGKASA untuk mengagihkan Wakalah Zakat bagi tahun 2023.

Kepercayaan tersebut katanya membuktikan bahawa koperasi bukan sahaja berperanan dalam pembangunan sosioekonomi, malah turut berperanan sebagai salah satu saluran kebajikan untuk masyarakat yang memerlukan.

Memurut beliau lagi, kesudian YB Dato’ Dr. Mohamad untuk hadir menjayakan majlis serahan wakalah zakat ANGKASA ini juga dianggap sebagai sebagai tanda penghargaan serta sokongan kerajaan negeri terhadap usaha berterusan ANGKASA memperkasakan sektor pendidikan melalui pendekatan koperasi.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah, Maahad Al Mashoor Al-Islami, Balik Pulau, Dato’ Prof. Emeritus Dr. Abdul Aziz Tajuddin, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Tuan Haji Mohamad Dziauddin Mat Sead, Pegawai Pendidikan Daerah Barat Daya, Dr. Mohd. Siroj Abdul Lathiff, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Pulau Pinang, Dato’ Haji Mohd Jamil Othman,
Pengetua Maahad AI-Mashoor Al lslami, Balik Pulau, Tuan Haji Azmi Abdul Hamid dan barisan Anggota JKAN Pulau Pinang.

Jumlah Wakalah Zakat ANGKASA Negeri Pulau Pinang tahun 2023 yang diberi melalui Pusat Zakat Pulau Pinang adalah sebanyak RM78,175.04. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM60,000.00 telah diperuntukkan kepada Sekolah Menengah Agama Maahad Al-Mashoor Al Islami untuk menyokong kelangsungan pendidikan dan kesejahteraan para pelajar. Baki RM18,175.04 pula diagihkan kepada empat koperasi terpilih dengan setiap koperasi menerima RM4,543.76.

Koperasi yang terlibat adalah Koperasi Kolej Tingkatan Enam Hutching Pulau Pinang Berhad, Koperasi Ibu Tunggal dan Wanita Mutiara Berhad, Koperasi Pulau Betong Balik Pulau Berhad dan Koperasi Sungai Gelugor Pulau Pinang Berhad.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine