HomeKOPERASIANGKASA Sasar 500 Koperasi Kariah Masjid Terlibat dalam Ekosistem Industri Umrah

ANGKASA Sasar 500 Koperasi Kariah Masjid Terlibat dalam Ekosistem Industri Umrah

ANGKASA menyasarkan penglibatan 500 koperasi kariah masjid yang aktif dalam ekosistem pembangunan industri haji dan umrah menerusi projek 1K1M atau Satu Kariah Satu Masjid yang dilaksanakan secara berperingkat.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, industri haji dan umrah membuka peluang perniagaan baharu kepada gerakan koperasi, khususnya dalam penyediaan perkhidmatan mutawif, latihan serta bimbingan ibadah.

Menurut beliau, koperasi kariah masjid mempunyai kelebihan melalui jaringan komuniti dan kepercayaan masyarakat setempat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Bengkel Pengurusan Haji dan Umrah (Mutawif) di The Pearl Hotel, Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2026.

Beliau turut menegaskan bahawa mutawif bukan sekadar mengiringi jemaah, malah bertanggungjawab memberikan bimbingan ibadah serta memastikan kebajikan dan keselamatan jemaah sentiasa terpelihara.

“Mutawif yang berwibawa bukan sahaja mampu menyampaikan ilmu dengan baik malah cekap mengurus situasi dan membuat keputusan yang mengutamakan kepentingan jemaah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya mengamalkan ilmu yang diperoleh serta mengutamakan kesabaran, keikhlasan dan profesionalisme dalam memberikan perkhidmatan.

Dalam usaha memperkukuh penglibatan koperasi dalam industri ini, ANGKASA akan menggalakkan kerjasama dengan institusi latihan dan pengendali umrah berkelayakan, selain memberi tumpuan awal kepada koperasi terpilih di Lembah Klang sebagai kumpulan perintis.

Pendekatan tersebut diharap dapat melahirkan tenaga mutawif kompeten, memperluas peluang ekonomi koperasi serta memberikan manfaat berterusan kepada anggota dan masyarakat setempat.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr Haji Nasaruddin Othman, Pengerusi Koperasi Perdagangan dan Perindustrian Malaysia Berhad, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah dan Pengarah MyANGKASA Travel & Tours Sdn. Bhd, Encik Hamudi Hassan.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine