HomeANTARABANGSADuta Besar Malaysia ke Timor Leste Hargai Peranan ANGKASA, SKM dan Gerakan...

Duta Besar Malaysia ke Timor Leste Hargai Peranan ANGKASA, SKM dan Gerakan Koperasi Malaysia bantu Sumbang Idea Pembangunan Koperasi semasa DRCCMD2026

Duta Besar Malaysia ke Timor Leste, Tuan Yang Terutama Fairuz Rozali menyatakan penghargaan beliau kepada delegasi Malaysia yang diketuai oleh Presiden ANGKASA dan ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah bersama-sama dengan delegasi ANGKASA, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KOOP SAHABAT) atas komitmen yang tinggi untuk membantu membangunkan gerakan koperasi di Timor Leste.

Menurut beliau, semasa pertemuan bersama kesemua delegasi Malaysia di Dili pada 3 Oktober 2026, sokongan Malaysia terhadap Timor Leste jelas dilihat semasa Tahun Kepengerusian ASEAN 2025, di mana YAB Perdana Menteri Malaysia selaku Pengerusi ASEAN ketika itu menjadikan agenda pengintegrasian Timor Leste dalam ASEAN sebagai agenda utama pada tahun tersebut di bawah tema Keterangkuman & Kelestarian (Inclusivity & Sustainability).

Malaysia juga membantu memudahcara proses pengintegrasian Timor Leste melalui pelbagai rundingan bersama pihak Pejabat Sekretariat ASEAN, termasuk mencadangkan agar Timor Leste diberikan kelonggaran untuk tidak meratifikasikan dan memenuhi kesemua tuntutan 88 instrumen dan perjanjian perundangan ASEAN secara serentak dan serta-merta.

88 instrumen dan perjanjian undang-undang tersebut merujuk kepada rangka kerja perundangan mengikat yang mengawal tiga tonggak utama ASEAN, di mana majoriti besarnya iaitu lebih daripada 60 perjanjian berada di bawah Tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) seperti Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Perkhidmatan (AFAS).

Baki instrumen pula merangkumi Tonggak Komuniti Politik-Keselamatan (APSC), termasuk Piagam ASEAN dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC). Selebihnya, ia melibatkan Tonggak Komuniti Sosio-Budaya (ASCC) seperti perjanjian pengurusan bencana dan pencemaran jerebu merentas sempadan. Bagi memenuhi komitmen ini, Timor-Leste sedang giat menyesuaikan undang-undang domestiknya secara berperingkat dengan sasaran integrasi ekonomi penuh menjelang tahun 2030.

“Malaysia sememangnya sentiasa dilihat sebagai penyokong kuat kepada Timor Leste. Jika kita imbas kembali ketika era konflik dan awal kemerdekaan negara tersebut, Malaysia terlibat secara aktif dalam Misi Pengaman Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari tahun 1999 sehingga Timor Leste mencapai kemerdekaan pada tahun 2002. Tidak terhenti di situ, Malaysia juga terlibat dalam misi pengaman antarabangsa yang diketuai oleh Australia semasa Timor Leste berhadapan dengan krisis keselamatan pada tahun 2006, dan misi ini dikenali sebagai Operation Astute” ujar TYT Fairuz Rozali.

“Tahun ini ANGKASA, ACO, SKM dan KOOP SAHABAT pula yang membantu mereka menjayakan program peringkat ASEAN pertama mereka, dan yang lebih membanggakan, sektor koperasi itu sendiri yang berani kehadapan untuk membantu mereka, dan saya harap gerakan koperasi Malaysia terutamanya ANGKASA dan ACO akan terus membantu dan menyumbang idea bagi menjadikan gerakan koperasi Malaysia lebih berdaya saing di masa akan datang” ujar beliau lagi.

Timor Leste merupakan sebuah negara yang amat bergantung dengan pengeluaran minyak dan gas, dan hampir 90% daripada Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tersebut disumbangkan oleh sektor minyak, gas dan petroleum. Kini, pembangunan gerakan koperasi serta sektor eknomi yang bukan berasaskan petroleum menjadi amat penting kepada Timor Leste setelah telaga-telaga minyak utama di negara tersebut seperti Telaga Minyak Bayu Undan ditutup pada tahun 2025. Akibat daripada penutupan tersebut, defisit perdagangan Timor Leste meningkat kepada 56.6% dan memberi kesan besar kepada pendapatan negara.

Walaupun negara tersebut telah menubuhkan tabung petroleum pada tahun 2005 bagi menangani krisis kewangan yang dijangka akan berlaku selepas telaga-telaga utama minyaknya ditutup, ianya dijangka akan kehabisan dana dalam tempoh sedekad. Kini, jumlah dana tabung tersebut adalah berjumlah AS$18.43 billion.

Sebagai salah satu pelan mitigasi, kerajaan negara tersebut kini melancarkan Pelan Jangka Sederhana Nasional (2027–2030) untuk beralih kepada ekonomi bukan berasaskan minyak dan gas dengan sasaran pertumbuhan sebanyak 6% setahun. Namun, sebahagian besar dana awam hanya tertumpu untuk kegunaan pembangunan di bandar Dili, manakala 70% belia dan masyarakat luar bandar masih lagi terperangkap dalam kemiskinan sara diri tanpa akses pasaran yang formal.

“Timor Leste kini sedang berlumba dengan masa untuk menggunakan baki dana sebanyak $18.43 bilion mereka bagi mempelbagaikan pembangunan ekonominya secara pantas dalam sektor pertanian, pelancongan, dan koperasi yang dipacu oleh komuniti” ujar TYT Fairuz Rozali.

Sesi pertemuan ini turut dihadiri oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Naib Ketua Pegawai Eksekutif Operasi & Kawalselia SKM, Haji Efendee OP Andu dan Ketua Pegawai Eksekutif KOOP SAHABAT, Haji Mazri Mahmood.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine