HomeAKTIVITIMyANGKASA Bina, Analytx Meterai MoU Perluas Kemudahan Pembelian Peralatan Elektrik

MyANGKASA Bina, Analytx Meterai MoU Perluas Kemudahan Pembelian Peralatan Elektrik

ANGKASAmenerusi MyANGKASA Bina Sdn. Bhd. (MBSB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Analytx Sdn. Bhd. bagi memperluas kemudahan pembelian peralatan elektrik jenama LG kepada pembeli rumah di bawah kendalian MBSB.

Kerjasama strategik itu bertujuan menawarkan pakej kelengkapan rumah pada harga berpatutan dan kompetitif, sekali gus membantu pembeli melengkapkan kediaman masing-masing dengan lebih mudah dan terancang selepas memperoleh rumah.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pemilikan rumah bukan sahaja melibatkan kemampuan menyediakan wang pendahuluan dan membayar ansuran bulanan malah pembeli turut perlu merancang perbelanjaan bagi menyediakan kelengkapan asas kediaman.

Menurut beliau, keperluan seperti peti sejuk, mesin basuh, televisyen dan peralatan elektrik lain boleh menjadi komitmen tambahan, khususnya kepada pembeli rumah pertama, golongan muda serta keluarga yang baru memulakan kehidupan di kediaman sendiri.

“Usaha membantu rakyat memiliki rumah perlu dilihat secara lebih menyeluruh. Kita bukan sahaja mahu lebih ramai rakyat berpeluang membeli kediaman tetapi kita juga mahu mereka dapat mengurus perbelanjaan selepas pembelian dengan lebih teratur dan berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan majlis menandatangani MoU antara MyANGKASA Bina Sdn. Bhd. dengan Analytx Sdn. Bhd. di Zenith Hotel, Putrajaya pada 20 Oktober 2026.

Menurut Datuk Seri Dr. Abdul Fattah, kerjasama itu berpotensi memperkukuh model perniagaan MBSB dengan menggabungkan perkhidmatan hartanah dan penawaran kelengkapan kediaman menerusi pakej yang bersesuaian dengan keperluan serta kemampuan pembeli.

Beliau berkata, kemudahan bayaran ansuran melalui skim potongan gaji ANGKASA atau kaedah pembiayaan yang bersesuaian juga berpotensi membantu pembeli mengurus perbelanjaan ketika berpindah ke kediaman baharu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan kerjasama tersebut perlu mengambil kira kelayakan pelanggan, kemampuan pembayaran serta terma yang jelas bagi memastikan kemudahan ditawarkan benar-benar memberi manfaat tanpa menambah beban kewangan yang tidak mampu ditanggung.

“Ukuran yang lebih penting ialah sejauh mana kerjasama tersebut dapat diterjemahkan kepada hasil perniagaan yang mampan dan memberi manfaat yang benar-benar dirasai pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap kedua-dua pihak dapat membangunkan pakej peralatan elektrik mengikut segmen pembeli, menawarkan harga yang munasabah serta menyediakan kaedah pembayaran yang fleksibel bagi memperluas capaian kepada lebih ramai pembeli rumah.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Analytx Sdn. Bhd., Dato’ Nurashid Haji Noordin berkata, kerjasama tersebut menggabungkan pengalaman Analytx dalam pembekalan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), penyelesaian ICT serta sokongan teknikal dengan kepakaran MBSB dalam pembangunan hartanah.

Beliau berkata, kerjasama itu bukan sekadar melibatkan urusan jual beli malah merangkumi pemilihan produk, pembekalan, penghantaran dan penyelarasan sokongan selepas jualan bagi memastikan pembeli rumah mendapat kelengkapan kediaman berkualiti pada harga kompetitif.

Menurutnya, kerjasama itu berpotensi diperluas kepada pakej kediaman, penyelesaian rumah pintar dan inisiatif lain mengikut keperluan pasaran serta persetujuan semua pihak, sekali gus membuka peluang perniagaan jangka panjang dan menyumbang kepada kesejahteraan keluarga Malaysia.

MBSB yang merupakan anak syarikat MyANGKASA Holdings Sdn. Bhd., terlibat dalam sektor hartanah termasuk pembangunan perumahan dan aktiviti jualan hartanah melalui kerjasama strategik.

Syarikat itu menyasarkan pembinaan 300 unit rumah MyVilla setahun di seluruh negara, khususnya untuk Generasi Kedua FELDA. Selain itu, MBSB merancang melaksanakan 3,000 unit perumahan dalam tempoh lima tahun dengan menyasarkan anggota koperasi sebagai prospek pembeli serta Nilai Kasar Pembangunan melebihi RM1 bilion.

Sementara itu, Analytx Sdn. Bhd. merupakan penjual utama (master seller) bagi produk peralatan elektrik jenama LG. Gabungan kepakaran kedua-dua syarikat membuka ruang kepada penawaran pakej kelengkapan rumah kepada pembeli hartanah MBSB, sekali gus memberikan pilihan untuk mereka melengkapkan kediaman mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.

Kerjasama itu diharap dapat memperluas peluang perniagaan kedua-dua pihak, meningkatkan daya saing dalam sektor perumahan serta memperkukuh ekosistem perkhidmatan kepada anggota koperasi dan masyarakat.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi MyANGKASA Bina Sdn. Bhd., Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil, barisan Ahli Lembaga Pengarah MBSB termasuk Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Datuk Dr. Haji Azih Haji Muda dan Dato’ Mohamad Hanifah BK Koya Moideen Kutty, Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Encik Azrul Hisyam Munap, Ketua Pegawai Operasi MBSB, Encik Mohd Hafidz Abu Bakar, Ketua Pegawai Operasi Analytx Sdn. Bhd., Encik Azmi Abdul Aziz, Pengarah Urusan LG Malaysia, Encik Justin Choi Dan Pengurus Besar Negara bagi Segmen Perusahaan merangkap Ketua Penyelesaian Kediaman B2B LG Electronics, Ts. Dr. Steven Loh.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine