Penubuhan koperasi kariah masjid sebagai satu usaha untuk memperluas fungsi masjid dalam memperkasa ekonomi komuniti.
Koperasi menyediakan ruang untuk ahli kariah menggabungkan kekuatan dari segi modal, kepakaran dan jaringan bagi membangunkan aktiviti ekonomi secara bersama.
Demikian ucapan Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah yang mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, semasa merasmikan Majlis Perasmian Bengkel Penubuhan Koperasi Kariah Masjid Negeri Terengganu 2026 di Dewan Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) pada 1 Oktober 2026.
Menurutnya lagi, dalam konteks ini, masjid mempunyai kelebihan kerana ia merupakan institusi yang dekat dengan masyarakat dan mempunyai jaringan komuniti yang kukuh di setiap kawasan.
Berdasarkan Perangkaan Koperasi Malaysia 2025 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), terdapat 622 koperasi kariah masjid di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 49,684 orang. Koperasi-koperasi itu merekodkan syer dan yuran sebanyak RM16.85 juta, aset berjumlah RM43.80 juta serta perolehan sebanyak RM34.82 juta.
“Angka itu menunjukkan bahawa koperasi kariah masjid mempunyai asas ekonomi yang semakin berkembang, namun masih terdapat ruang yang luas untuk memperkukuh peranan koperasi dalam menjana aktiviti ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan komuniti masjid.” ujarnya.
Koperasi yang ditubuhkan perlu memenuhi proses pendaftaran malah, mampu bergerak secara aktif, diurus secara profesional dan membina aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada anggota serta masyarakat setempat.
“Peserta perlu melihat bengkel itu sebagai ruang untuk memahami proses penubuhan malah juga langkah perlu diambil supaya koperasi dapat berkembang selepas ditubuhkan.” ujar beliau.
Kekuatan koperasi terletak pada kemampuan untuk menghimpunkan kekuatan individu menjadi satu kekuatan bersama.
Melalui koperasi, mereka boleh bergabung dan membina kapasiti secara kolektif, termasuk mendapatkan bahan mentah, meningkatkan pengeluaran, memperbaiki pembungkusan dan memperluas pemasaran. Pendekatan it membolehkan manfaat ekonomi dikongsi dengan lebih luas dalam kalangan anggota dan komuniti.
Dato’ Haji Ibrahim menyeru agar mengambil peluang itu untuk membina jaringan berkongsi pengalaman dan membina satu perancangan yang boleh dilaksanakan bersama.
Apa yang lebih penting ialah memastikan koperasi yang bakal ditubuhkan benar-benar hidup, mempunyai kegiatan ekonomi dan memberikan manfaat yang dapat dirasai oleh anggota.
Beliau percaya sekiranya institusi masjid dan gerakan koperasi dapat digerakkan secara bersama, mampu membina satu ekosistem ekonomi ummah yang lebih tersusun dengan berperanan dalam pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat.
Hadir sama ialah Timbalan Pesuruhjaya Operasi (JHEAT) , Haji Zahari Sulong, Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Haji Mohd Rusydi Mansor, Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Pengurusan Masjid (JHEAT), Engku Omar Amiruddin Engku Ali, Imam BesarNegeri Terengganu, Ustaz Muhammad Ash-Shafie Abd Manan dan Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan & Perniagaan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman.





















