Sebanyak 30 koperasi kariah masjid di Pahang telah menerima kelulusan geran Program Pemerkasaan Koperasi Kariah Masjid Negeri Pahang (HIKMAH) berjumlah RM450,000 selepas tujuh permohonan baharu diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kelulusan Geran HIKMAH diadakan di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 15 Oktober 2026.
Kelulusan itu melengkapkan peruntukan geran RM450,000 yang disediakan untuk ANGKASA daripada keseluruhan RM600,000 yang diluluskan Kerajaan Negeri Pahang bagi pelaksanaan program HIKMAH tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, peruntukan geran kepada ANGKASA dibahagikan sama rata kepada tiga wilayah iaitu Barat, Tengah dan Timur dengan setiap wilayah menerima RM150,000.
“Bantuan tersebut bertujuan membantu koperasi mendapatkan peralatan, mesin serta modal pusingan bagi meningkatkan keupayaan operasi dan mengembangkan aktiviti perniagaan masing-masing,” katanya.
Dalam mesyuarat pertama pada 26 Ogos lalu, sebanyak 23 daripada 25 permohonan telah diluluskan dengan nilai keseluruhan RM332,082.
Kelulusan tujuh koperasi baharu dalam mesyuarat kedua menjadikan jumlah keseluruhan penerima geran HIKMAH bagi tahun ini sebanyak 30 koperasi dengan peruntukan RM450,000 digunakan sepenuhnya.































Baki geran RM117,918 yang dibentangkan untuk pertimbangan mesyuarat kali ini melibatkan empat permohonan dari Wilayah Barat bernilai RM65,000, satu permohonan dari Wilayah Tengah bernilai RM15,918 dan dua permohonan dari Wilayah Timur berjumlah RM37,000.
YB Dato’ Amizar turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Pahang untuk terus menyokong usaha memperkasakan koperasi kariah masjid menerusi aspirasi ‘Pahang 1st,’ bagi memastikan gerakan tersebut mampu memacu ekonomi ummah secara mampan dan relevan.
Penyerahan cek cura kepada koperasi penerima dijadualkan berlangsung sempena Majlis Multa’qa Wal Taqrim Koperasi Kariah Masjid Negeri Pahang 2026 pada 23 Oktober ini di Ancasa Royale Pekan, Pahang. Majlis berkenaan turut merangkumi pengiktirafan kepada koperasi masjid terbaik negeri bagi tahun 2026 dan akan dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail.
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang, Encik Mohd Firdaus Shaari, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP), Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Ab. Rahman, Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Timur, Puan Haslinda Sujak, Presiden ANGKASA, Dato’ Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Pengerusi ANGKASA Pahang Zon Timur, Haji Mohd Zahidi Haji Husain, Pengerusi ANGKASA Pahang Zon Timur, Dato’ Syed Ali Syed Mohammad dan Pengerusi ANGKASA Pahang Zon Tengah, Dato’ Haji Mohamad Hanifah BK Koya Moideen Kutty.


