Delegasi ANGKASA dan Malaysia menerima sambutan bertaraf tetamu negara sempena kunjungan bagi menjayakan The Dili Regional Cooperative Conference & Ministerial Dialogue 2026 (DRCCMD2026) di Dili, Timor Leste hari ini (1 Oktokber 2026).
Delegasi Malaysia disantuni oleh Secretary of State for Cooperatives Timor Leste (SECoop), H.E. Mr. Arsenio Pereira da Silva, yang bertaraf menteri, pada Majlis Makan Malam Pembukaan DRCCMD2026 yang berlangsung di Hotel La Lagendario, Dili, Timor Leste.
Penghormatan tersebut diberikan sebagai tanda penghargaan kepada ANGKASA dan ASEAN Co-operative Organization (ACO) atas komitmen serta kesediaan membantu Kerajaan Timor Leste dalam menjayakan penganjuran program berkenaan, termasuk penyediaan konsep dan kandungan program, dokumen-dokumen penting serta aspek teknikal persiapan.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, berkata kerjasama tersebut mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh agenda koperasi di rantau ASEAN.
“Kami berterima kasih dan menghargai sikap kepimpinan Timor Leste yang komited untuk membantu membawa agenda koperasi ke peringkat ASEAN. Penganjuran Dili Cooperative Dialogue 2026 ini juga merupakan satu inisiatif bersama untuk memulakan momentum proses advokasi bagi membawa agenda koperasi di peringkat ASEAN sehingga tiba giliran Timor Leste pada tahun 2029 nanti,” katanya.
Menurut beliau, usaha membawa agenda koperasi sebagai salah satu agenda perbincangan utama dalam mesyuarat-mesyuarat peringkat ASEAN telah dimulakan sejak Julai 2024, namun proses tersebut memerlukan sokongan negara yang memegang Kepengerusian ASEAN pada setiap tahun.
“Kita mengharapkan agar usaha advokasi kita dipermudahkan semasa Tahun Kepengerusian ASEAN di Singapura pada 2027, Vietnam pada 2028 dan Timor Leste pada 2029. Sekiranya usaha kita di Singapura dan Vietnam tidak berjaya, maka Timor Leste akan menjadi harapan kita untuk mengangkat agenda koperasi ke Sidang Kemuncak ASEAN,” ujar beliau.
SECoop Timor Leste merupakan antara anggota ACO yang aktif menyertai program-program anjuran ANGKASA. Penglibatan tersebut bermula menerusi International Cooperative Alliance Asia & Pacific Credit & Banking Conference pada 2024, sebelum diteruskan melalui ASEAN Co-operative Dialogue 2025 (ACD2025) dan ASEAN Co-operative Networking 2025 (ACN2025) di Kuala Lumpur.
Susulan kejayaan ACD2025 yang dianjurkan ANGKASA, Kerajaan Timor Leste menyatakan komitmen untuk menganjurkan DRCCMD2026 sebagai program pertama peringkat ASEAN yang diadakan di Timor Leste. Program tersebut turut menggunakan format ACD2025 dan disasarkan untuk memberikan pendedahan kepada komuniti koperasi Timor Leste mengenai potensi koperasi sebagai salah satu tunjang pembangunan negara, khususnya dalam membangunkan lebih daripada 2,500 komuniti kecil di lebih 400 buah kampung yang terletak di 13 wilayah negara tersebut.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, keberanian Timor Leste menganjurkan program berkenaan merupakan satu perkembangan positif dalam usaha memperkukuh gerakan koperasi di rantau ASEAN.
“Kita maklum proses dan perjalanannya tidak mudah, memandangkan Timor Leste adalah anggota baharu dalam ASEAN, dan kami kagum dengan keberanian pihak Timor Leste untuk menganjurkan program ini. Semangat ini yang kita perlukan bagi memastikan gerakan koperasi ASEAN sentiasa maju ke hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, gerakan koperasi Timor Leste turut menunjukkan perkembangan yang ketara hasil inisiatif kerajaan melalui SECoop. Pada 2023, jumlah koperasi di negara tersebut hanya berjumlah 198 buah, namun kini meningkat kepada lebih 351 buah koperasi dengan keanggotaan melebihi 100,000 orang, iaitu hampir 10 peratus daripada jumlah penduduk Timor Leste yang kini berjumlah kira-kira 1.3 juta orang.
Perkembangan tersebut memperlihatkan potensi besar gerakan koperasi sebagai salah satu instrumen pembangunan ekonomi dan sosial, khususnya dalam memperkasakan komuniti akar umbi.
Penganjuran DRCCMD2026 sekali gus menjadi platform penting bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara gerakan koperasi negara-negara ASEAN, selain membuka ruang perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam usaha memastikan agenda koperasi terus diberi perhatian di peringkat serantau.
Hadir sama, Naib Presiden ANGKASA merangkap Setiausaha Agung ASEAN Co-operative Organization ACO, Dato’ Hj. Kamarudin Ismail, dan Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik.
Delegasi Malaysia selain ANGKASA yang turut serta dalam program ini ialah Naib Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Haji Effendi OP Andu dan Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (KOOP SAHABAT), Haji Mazri Mahmood.

















