Delegasi ANGKASA yang diketuai oleh Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO) yang juga Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sekali lagi berpeluang mengunjungi Escola Secundária Geral 5 de Maio di Dili, Timor-Leste selepas sembilan tahun daripada lawatan terdahulu pada 31 Januari 2017.
Sekolah berkenaan merupakan antara institusi pendidikan terawal di Timor-Leste yang menubuhkan koperasi sekolah hasil adaptasi model koperasi komuniti yang diperkenalkan ANGKASA.
Koperasi sekolah tersebut ditubuhkan pada Julai 2016 dan ketika kunjungan ANGKASA pada Januari 2017, iaitu kira-kira lima bulan selepas penubuhannya, koperasi berkenaan dilaporkan telah mampu menjana pendapatan harian antara AS$100 hingga AS$500.
Naib Presiden ANGKASA merangkap Setiausaha Agung ASEAN Co-operative Organization (ACO), Dato’ Haji Kamarudin Ismail berkata, pencapaian tersebut masih menjadi antara pengalaman yang diingatinya daripada lawatan terdahulu.
“Saya masih teringat lagi ketika lawatan sembilan tahun dahulu, pihak sekolah menyambut kami dengan begitu bersemangat sekali. Ketika saya mendengar mereka mampu menjana pendapatan harian sebanyak itu, saya kagum dan ketika itulah saya yakin penyelesaian paling berkesan bagi komuniti di Timor-Leste ini adalah melalui koperasi berasaskan komuniti,” katanya ketika mengunjungi sekolah berkenaan.






Menurut beliau, ANGKASA pada 2017 hanya memberikan sumbangan sebanyak AS$200 serta senaskhah buku berkaitan model koperasi sekolah yang dihasilkan oleh Bahagian Sekolah ANGKASA.
“Pada tahun 2017, kita telah sumbang AS$200 kepada mereka dan senaskhah buku berkaitan model koperasi sekolah yang dihasilkan oleh Bahagian Sekolah ANGKASA. Itu sahaja yang kita tinggalkan pada masa tersebut.
“Bayangkan jika kita betul-betul membimbing mereka dan memantau rapi perkembangan mereka, saya yakin untuk mencapai pendapatan AS$1 juta itu juga mampu dicapai, sama seperti apa yang telah kita capai di Malaysia,” katanya.
Lawatan semula itu turut memberi peluang kepada ANGKASA melihat perkembangan institusi pendidikan yang pernah menjadi antara contoh awal penerapan konsep koperasi sekolah di Timor-Leste.
Escola Secundária Geral 5 de Maio ditubuhkan pada 1983 dengan nama asal SMA Dharma Bakti sebelum menggunakan nama baharu tersebut pada 2003 selepas Timor-Leste mencapai kemerdekaan daripada Indonesia.
Sekolah berkenaan kini dikelolakan oleh Kementerian Pendidikan Timor-Leste dengan bidang pengajian yang memberi tumpuan kepada Sains, Teknologi, Sains Sosial serta Kemanusiaan.
Usaha ANGKASA memperluas jaringan koperasi di peringkat serantau turut selari dengan peranan ACO sebagai platform kerjasama gerakan koperasi ASEAN, termasuk dalam aspek perkongsian amalan terbaik, pembangunan kapasiti dan hubungan strategik antara gerakan koperasi di rantau ini.


