HomeUncategorizedKoperasi Perlu Berani Teroka Bidang Baharu, Perluas Portfolio Perniagaan

Koperasi Perlu Berani Teroka Bidang Baharu, Perluas Portfolio Perniagaan

Gerakan koperasi perlu berani meneroka bidang perniagaan baharu serta memperluas portfolio menerusi kerjasama strategik dengan pemain industri bagi memastikan sektor tersebut terus berdaya tahan dan mampan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Mohamad Alamin berkata, koperasi perlu berani meneroka bidang baharu melalui kerjasama dengan pihak yang mempunyai kepakaran khusus sebelum menggabungkannya dengan kekuatan jaringan dan keanggotaan koperasi bagi menghasilkan produk serta perkhidmatan yang lebih relevan kepada pasaran.

Menurutnya, kekuatan gerakan koperasi bukan sahaja terletak pada skala ekonomi dan jumlah anggota yang besar tetapi perlu diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi yang lebih inovatif serta mampu memberikan nilai tambah kepada rakyat.

“Berdasarkan statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi tahun 2025, terdapat 16,468 koperasi dengan lebih 7.33 juta anggota di seluruh negara, manakala aset gerakan koperasi mencecah RM186.75 bilion dengan perolehan sebanyak RM81.62 bilion.

Angka tersebut menunjukkan bahawa gerakan koperasi mempunyai skala ekonomi yang besar serta jaringan keanggotaan yang luas dan kekuatan tersebut perlu terus diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi yang lebih kreatif dan proaktif serta mampu memenuhi keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara MyANGKASA Holdings Sdn Bhd (MHSB) dan OPTIMAX Eye Specialist Centre Sdn Bhd (OPTIMAX Holdings Berhad) di Hyatt Place, Bukit Jalil pada 7 Oktober 2026.

Datuk Mohamad berkata, kerjasama antara MHSB dan OPTIMAX memperlihatkan bagaimana kekuatan jaringan koperasi boleh digabungkan dengan kepakaran industri untuk mewujudkan peluang baharu dalam sektor perkhidmatan kesihatan.

Menurutnya, penglibatan ANGKASA menerusi MHSB dalam bidang penjagaan kesihatan mata bersama penyedia perkhidmatan yang mempunyai kepakaran khusus menunjukkan kesediaan gerakan koperasi meneroka bidang yang mempunyai potensi ekonomi selain memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan anggota.

Katanya, pemilihan bidang penjagaan kesihatan mata amat relevan kerana penglihatan merupakan sebahagian penting daripada kualiti hidup seseorang serta berkait rapat dengan keupayaan untuk bekerja, belajar dan menjalani kehidupan seharian.

“Justeru, usaha memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan mata yang berkualiti bukan sahaja mempunyai nilai dari sudut perniagaan tetapi turut menyentuh aspek kesejahteraan anggota dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata kerjasama seumpama itu turut selari dengan pendekatan _Whole of Nation_ dalam agenda kesihatan negara yang memerlukan penglibatan pelbagai pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta, organisasi masyarakat dan institusi lain.

“Apabila kekuatan ini digabungkan melalui kerjasama yang terancang maka lebih banyak ruang dapat diwujudkan untuk menyokong kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi MHSB, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata kerjasama berkenaan menjadi bukti usaha ANGKASA memperluas manfaat kepada anggota koperasi melalui jaringan strategik dengan pemain industri.

Beliau berkata melalui kerjasama itu, anggota koperasi berpeluang mendapatkan perkhidmatan pakar bagi pelbagai masalah penglihatan termasuk rabun dan katarak melalui rangkaian pusat rawatan OPTIMAX.

“Melalui kerjasama dengan OPTIMAX kita mahu membuka akses yang lebih mudah kepada pemeriksaan dan rawatan kesihatan mata yang berkualiti,” katanya.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata kemudahan Sistem Potongan Gaji ANGKASA atau eSPGA turut disediakan bagi membolehkan bayaran dibuat secara ansuran bulanan yang lebih teratur sekali gus membantu anggota mendapatkan rawatan tanpa perlu membuat bayaran secara sekaligus.

Beliau berkata MHSB akan terus memainkan peranan sebagai platform untuk meneroka dan membangunkan kerjasama strategik yang mempunyai nilai kepada gerakan koperasi dengan memberi tumpuan kepada bidang yang mempunyai permintaan sebenar serta rakan strategik yang mampu menawarkan perkhidmatan berkualiti.

“Nilai sebenar sesuatu kerjasama hanya dapat dilihat apabila manfaatnya benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi OPTIMAX Holdings Berhad, Dato’ Seri Dr. Chen Chaw Min dalam ucapan aluannya berkata, kerjasama tersebut menggabungkan jaringan keanggotaan ANGKASA yang luas dengan kepakaran OPTIMAX dalam bidang penjagaan mata bagi memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti.

Beliau berkata kerjasama itu membuka peluang kepada 7.2 juta anggota koperasi dalam rangkaian ANGKASA untuk mendapatkan akses lebih luas kepada perkhidmatan penjagaan mata selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan penglihatan di seluruh negara. Menurutnya, manfaat berkenaan turut terbuka kepada ahli keluarga terdekat anggota yang layak.

Katanya, faktor kos dan kemampuan kewangan sering mempengaruhi keputusan seseorang untuk mendapatkan rawatan mata, justeru kemudahan pembayaran secara ansuran yang disediakan melalui kerjasama itu dapat memberikan fleksibiliti lebih baik kepada anggota serta keluarga mereka.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengasas merangkap Timbalan Pengerusi OPTIMAX Eye Specialist Centre, Tan Sri Dato’ (Dr.) Tan Boon Hock, Naib-Naib Presiden ANGKASA termasuk Datuk Haji Mohamad Ali Hasan dan Haji Zaharuddin Alias, Anggota Lembaga ANGKASA (Wakil KUSKOP), Haji Azizul Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA merangkap Pengarah Eksekutif MHSB, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan SKM, Puan Zuhaini Romli, Lembaga Pengarah MHSB termasuk Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Haji Nasir Khan Yahaya, Penasihat Khas MHSB, Encik S. Ahlaimuniandy dan Timbalan Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Datin Hajah Nor Faridah A. Bakar.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine