Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KOOP SAHABAT) menyatakan kesediaan untuk berkongsi pengalaman serta amalan terbaik dalam pembangunan komuniti, pemerkasaan wanita dan pengukuhan gerakan koperasi dengan Timor-Leste menerusi model pembangunan yang telah berjaya dilaksanakan di Malaysia sejak penubuhannya pada tahun 2012.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KOOP SAHABAT, Haji Mazri Mahmood ketika menyertai Sesi Pleno Ketiga bertajuk “Community-Owned Cooperatives as Engines of Local Economic Transformation: The Koop Sahabat Experience” sempena penganjuran Dili Regional Cooperative Conference & Ministerial Dialogue 2026 (DRCCMD 2026) yang berlangsung di Palm Spring Hotel, Dili, Timor-Leste pada 3 Oktober 2026.
Menurut beliau, perjalanan KOOP SAHABAT bermula daripada usaha memperkasa golongan usahawan wanita berpendapatan rendah melalui ekosistem Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebelum berkembang menjadi sebuah gerakan pemilikan ekonomi berasaskan koperasi yang memberi peluang kepada anggota untuk bukan sahaja menyertai aktiviti ekonomi, tetapi turut memiliki institusi ekonomi yang mereka bangunkan bersama.
“Jika Amanah Ikhtiar Malaysia membantu masyarakat memperoleh akses kepada peluang ekonomi, KOOP SAHABAT pula menyediakan platform untuk mereka memiliki peluang ekonomi tersebut. Matlamat akhir kami bukan sekadar melahirkan usahawan, tetapi melahirkan pemilik.”
Beliau menjelaskan bahawa pengalaman KOOP SAHABAT menunjukkan pembangunan ekonomi yang mampan berlaku apabila komuniti berkembang melalui tiga peringkat utama:
- Financial Inclusion
- Entrepreneurship
- Ownership
Menurut beliau, perjalanan daripada akses kepada kewangan, pembangunan keusahawanan dan akhirnya kepada pemilikan ekonomi merupakan asas kepada transformasi komuniti yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Dalam sesi tersebut, Haji Mazri turut berkongsi bahawa antara faktor paling penting yang menyumbang kepada kejayaan KOOP SAHABAT ialah pelaksanaan struktur tadbir urus yang jelas, seimbang dan profesional.
“Anggota merupakan pemilik koperasi. Lembaga bertanggungjawab menentukan hala tuju dan memastikan tadbir urus yang baik, manakala pasukan pengurusan profesional mengendalikan operasi dan perniagaan harian. Pemisahan peranan ini membolehkan koperasi berkembang secara mampan tanpa mengabaikan kepentingan anggota.”
Menurut beliau, prinsip tersebut diringkaskan melalui pendekatan: Members Own, Professionals Manage, Governance Oversees yang memastikan keputusan perniagaan dapat dibuat secara profesional sambil mengekalkan akauntabiliti kepada anggota sebagai pemilik koperasi.
KOOP SAHABAT juga mengamalkan struktur perwakilan akar umbi yang membolehkan suara anggota disalurkan secara berkesan daripada peringkat komuniti kepada kepimpinan koperasi. Sistem ini memastikan keperluan dan aspirasi anggota sentiasa menjadi asas kepada perancangan dan pembangunan koperasi.
Menurut Haji Mazri, model ini mempunyai beberapa persamaan dengan struktur komuniti sedia ada di Timor-Leste melalui rangkaian Suco dan Aldeia yang boleh dijadikan asas kepada pembangunan koperasi yang lebih tersusun dan inklusif.
“Apa yang penting ialah mewujudkan saluran yang membolehkan kepimpinan koperasi sentiasa dekat dengan anggota dan memahami keperluan sebenar masyarakat di peringkat komuniti.”
Dari sudut pembangunan perniagaan pula, beliau menjelaskan bahawa kejayaan sesebuah koperasi memerlukan keseimbangan antara matlamat komersial dan manfaat kepada anggota.
Menurut beliau, KOOP SAHABAT mengamalkan pendekatan membangunkan beberapa aktiviti ekonomi yang saling melengkapi bagi mewujudkan sumber pendapatan yang mampan dan berdaya tahan dalam jangka panjang.
“Koperasi tidak boleh bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja. Ia perlu membangunkan pelbagai aktiviti ekonomi yang mampu menjana nilai kepada anggota dan pada masa yang sama mengukuhkan kedudukan kewangan organisasi.”
Beliau berpandangan bahawa prinsip yang sama boleh diaplikasikan di Timor-Leste dengan memberi tumpuan kepada sektor-sektor yang mempunyai kelebihan tempatan seperti pertanian, kopi, vanila, perikanan, kraftangan, pelancongan komuniti dan perusahaan mikro luar bandar.
Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sesebuah koperasi tidak bergantung kepada jumlah modal permulaan atau saiz projek yang dilaksanakan, sebaliknya bergantung kepada empat faktor asas iaitu:
- Kepercayaan anggota;
- Tadbir urus yang baik;
- Disiplin pengurusan kewangan; dan
- Penglibatan aktif anggota.
“Apa yang kami pelajari sepanjang membangunkan KOOP SAHABAT ialah pembangunan komuniti mesti bermula dengan manusia. Apabila kepercayaan dibina, simpanan dapat dikumpulkan. Apabila simpanan berkembang, modal dapat diwujudkan. Dan apabila modal diurus dengan baik, komuniti akhirnya dapat memiliki aset dan membina kekayaan secara bersama.”
Beliau turut berkongsi bahawa koperasi perlu memainkan peranan yang lebih besar daripada sekadar aktiviti ekonomi semata-mata. Sebagai institusi milik anggota, koperasi perlu menjadi wadah pembangunan sosial yang menyediakan jaringan keselamatan kepada komuniti melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan insan.
Menurut beliau, inilah yang membezakan model koperasi daripada institusi komersial biasa kerana keuntungan yang dijana dapat dipulangkan semula kepada anggota dalam bentuk dividen, manfaat sosial dan peluang pembangunan ekonomi.
KOOP SAHABAT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada H.E. Eng. Arsénio Pereira da Silva, M.Agr., Secretary of State for Cooperatives Timor-Leste, ASEAN Cooperative Organisation (ACO) dan ANGKASA atas jemputan dan peluang yang diberikan kepada KOOP SAHABAT untuk berkongsi pengalaman Malaysia dalam pembangunan komuniti dan pemerkasaan ekonomi melalui koperasi.
Mengakhiri sesi tersebut, Haji Mazri menegaskan bahawa KOOP SAHABAT tidak melihat pengalaman Malaysia sebagai model yang perlu ditiru sepenuhnya oleh Timor-Leste. Sebaliknya, nilai-nilai asas seperti tadbir urus yang baik, penglibatan anggota, pengurusan profesional dan pembangunan komuniti berasaskan pemilikan boleh disesuaikan mengikut keperluan serta realiti tempatan.
“Perjalanan kami adalah daripada menyimpan kepada memiliki. Apabila komuniti memiliki masa depan ekonomi mereka sendiri, transformasi menjadi lebih mampan, lebih inklusif dan lebih berdaya tahan.”

















