Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menerima Anugerah Ikon Kepimpinan Koperasi WAWASANITA 2026 bersempena dengan sambutan Jubli Mutiara Ke-30 Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (WAWASANITA) di Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2026.
Anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi Jemaah Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Laut, Puan Sri Zamzelina Ahmad. Turut hadir ialah Penasihat Kehormat WAWASANITA, Datin Dr. (H.C.) Hajah Hartini Osman dan Presiden WAWASANITA, Datin Dr. Norli @ Norlaili Haji Alias.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, Pengerusi JKAN Negeri Sembilan, Hajah Noorizan Abd Latif dan Bendahari JKAN Wilayah Persekutuan, Haji Muhammad Asri Husin.
Pengiktirafan itu diberikan sebagai penghargaan terhadap kepimpinan cemerlang dan sumbangan berterusan Datuk Seri Dr. Abdul Fattah dalam memperkukuh gerakan koperasi negara, memajukan keusahawanan koperasi serta memperjuangkan pembangunan sosioekonomi mampan menerusi kepimpinan beliau di ANGKASA.
Ditubuhkan pada 13 Februari 1996, WAWASANITA merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang komited dalam memperkasakan usahawan wanita serta memperkukuh penyertaan mereka dalam ekonomi negara dan global. Diasaskan oleh Puan Hajah Noor Hayati Abd Rahman, persatuan itu kini mempunyai lebih 1,000 anggota di seluruh Malaysia.
Sepanjang tiga dekad penubuhannya, WAWASANITA giat memajukan bidang keusahawanan menerusi pendidikan perniagaan, bimbingan secara langsung, pembinaan rangkaian strategik, akses kepada pembiayaan, misi perdagangan serta peluang menembusi pasaran antarabangsa.
Berbekalkan pengalaman dan jaringan keusahawanan yang dibina WAWASANITA selama 30 tahun, Koperasi Wawasan Wanita Malaysia Berhad (KWWMB) yang baru ditubuhkan berpotensi membangunkan inisiatif koperasi yang mampan, sekali gus mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada usahawan wanita.

















