ANGKASA terus memperkukuh peranan koperasi kariah masjid sebagai pemangkin pembangunan ekonomi komuniti menerusi pelaksanaan Program Pemerkasaan Koperasi Kariah Masjid Luar Bandar (DESA).
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pembangunan koperasi kariah masjid berpotensi memperluas peluang ekonomi masyarakat melalui aktiviti perniagaan yang berdaya maju, selain menjadikan masjid sebagai pusat penyatuan komuniti dan pembangunan sosioekonomi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kabin “Coop Mart” Koperasi Kariah Masjid Ismail Petra Tanah Merah Berhad di Tanah Merah, Kelantan hari ini (12 Oktober 2026). Menerusi program DESA, ANGKASA menyediakan kemudahan kabin kepada 20 koperasi kariah masjid terpilih di seluruh negara sebagai platform untuk memperluas aktiviti perniagaan berdasarkan keperluan dan potensi masyarakat setempat.
Menurut beliau, inisiatif itu turut mencerminkan usaha memperkasa gerakan koperasi di peringkat akar umbi, selaras dengan pengumuman peruntukan RM500,000 oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika Kongres Koperasi Kebangsaan bagi memperkasa koperasi kariah masjid di seluruh negara.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pengoperasian kabin Coop Mart perlu turut memberi perhatian kepada pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), khususnya dalam memastikan kemudahan perniagaan koperasi dapat menyokong usaha membantu golongan yang memerlukan. Peluang berkaitan program berkenaan perlu diteliti dan dimanfaatkan mengikut syarat serta mekanisme pelaksanaan yang ditetapkan.
Koperasi Kariah Masjid Ismail Petra Tanah Merah Berhad yang ditubuhkan pada 25 September 2013 kini mempunyai seramai 290 anggota dan menjalankan aktiviti kedai runcit serta penyediaan dewan untuk majlis akad nikah. Usaha membangunkan perniagaan kafe turut memperlihatkan potensi koperasi itu untuk mempelbagaikan sumber pendapatan.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, kemudahan Coop Mart perlu dimanfaatkan secara strategik melalui pengurusan perniagaan yang profesional, termasuk mengenal pasti permintaan pelanggan, mengurus stok dan kewangan dengan teratur serta meneroka peluang pemasaran produk tempatan. ANGKASA juga akan terus menyediakan sokongan, latihan dan bimbingan bagi meningkatkan keupayaan pengurusan serta daya saing koperasi.
Beliau turut menekankan kepentingan tadbir urus yang telus, integriti dan pematuhan prinsip syariah dalam memastikan perniagaan koperasi berkembang secara mampan. Sokongan anggota kariah, penglibatan usahawan tempatan serta kerjasama dengan pihak berkaitan juga penting bagi memperluas peluang ekonomi dan memastikan manfaat perniagaan dapat dikembalikan kepada komuniti.
Beliau berharap pembukaan Kabin Coop Mart itu menjadi titik permulaan kepada perkembangan perniagaan yang berterusan, sekali gus memperkukuh kedudukan Koperasi Kariah Masjid Ismail Petra Tanah Merah Berhad sebagai institusi ekonomi komuniti yang mampu menjana pendapatan, membuka peluang keusahawanan dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat.
Hadir sama pada majlis itu ialah, Ketua Jajahan Tanah Merah (Pegawai Daerah) merangkap Pengerusi Masjid Ismail Petra Tanah Merah, Encik Wan Ahmad Suwaidi Zainal Abidin, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Kelantan, Haji Wan Mohamad Zain Wan Abdullah, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr Haji Nasaruddin Othman, Imam Tua merangkap Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Ismail Petra Tanah Merah Berhad, Ustaz Abdul Muhaimin Yahya serta Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Peniagaan Koperasi Kariah Masjid, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman.
























