Tuesday, March 3, 2026
HomeAGENSIProgram Lawatan Cariniaga - Platform Kembang Ekonomi Koperasi Negeri Perlis

Program Lawatan Cariniaga – Platform Kembang Ekonomi Koperasi Negeri Perlis

Delegasi ANGKASA Negeri Perlis diketuai Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Perlis, Dr. Ammar Hassan telah mengadakan ‘Program Lawatan Cariniaga’ selama dua hari ke Kuala Lumpur bermula 11 Februari 2026.

Delegasi seramai 30 kepimpinan koperasi melibatkan koperasi wanita dan dewasa itu turut megadakan kunjungan ke Bangunan Parlimen, Ibu pejabat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di Putrajaya.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah yang menyambut kedatangan delegasi tersebut di Wisma Ungku A.Aziz Kelana Jaya memuji usaha yang dijalankan oleh ANGKASA Negeri Perlis atas kesungguhan yang dibuat bagi menjayakan agenda perniagaan koperasi.

Katanya, Negeri Perlis walaupun kecil dari sudut geografi dan dengan hanya 284,885 jumlah penduduk, negeri ini sentiasa memperlihatkan kekuatan dari sudut kebersamaan masyarakat dan kesungguhan gerakan koperasi.

“Pertemuan ini juga boleh membentuk ruang kerjasama yang mampu menjadi nadi ekonomi rakyat yang berdaya tahan khususnya di Negeri Perlis.”ujarnya.

Menurutnya lagi, jika dilihat dari statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia, sehingga Jun 2025 terdapat 265 buah koperasi di negeri Perlis, dengan keanggotaan seramai 62,545 individu, aset sebanyak RM146.01 juta. Syer atau yuran sebanyak RM67.83 juta dan perolehan dicatatkan sebanyak RM37.82 juta.

ANGKASA sebagai badan puncak gerakan koperasi memainkan peranan besar dalam menyatukan suara koperasi serta menyediakan sokongan strategik kepada anggotanya. Tanggungjawab ANGKASA adalah sebagai wakil rasmi gerakan koperasi di peringkat nasional dan global, malah sebagai pemudah cara pembangunan serta jaringan perniagaan berimpak tinggi.

Pendekatan kolaboratif akan membantu koperasi mengurangkan kos operasi dan meningkatkan keupayaan bersaing. Kerjasama dengan agensi kerajaan, institusi kewangan, sektor swasta perlu diperkukuh bagi memastikan koperasi mendapat akses kepada teknologi, latihan dan pasaran yang lebih luas.

Program seperti hari itu juga bakal membuka ruang kepada koperasi untuk memperluas jaringan serta bertukar pengalaman, sekali gus membina ekosistem perniagaan yang lebih kukuh.

Melalui pelbagai platform, ANGKASA berusaha membuka akses pasaran yang lebih luas, membina jaringan perdagangan serta membantu koperasi meningkatkan standard operasi agar mampu bersaing secara profesional.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine