Satu sesi lawatan ringkas ke Pusat Dialisis MyANGKASA Tapah Road, di Tapah, Perak oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah telah berlangsung pada hari ini (1 April 2026).
Pusat Dialisis tersebut merupakan salah satu cawangan di bawah MyANGKASA Dialisis Sdn. Bhd. (MDSB) yang mula beroperasi pada Julai 2025 dengan kerjasama Koperasi Pembangunan Batang Padang Daerah Muallim Berhad.
Sesi lawatan tersebut turut disertai Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Perak, Haji Mohamed Shafie Abd Karim, Pengerusi Koperasi Batang Padang Daerah Mualim Berhad, Dato’ Haji Mat Rasid Ayob dan beberapa Anggota Lembaga Koperasi serta barisan pengurusan MDSB.
Menurut Datuk Seri Dr. Abdul Fattah, penubuhan pusat itu adalah selaras dengan komitmen MDSB dalam menyediakan perkhidmatan rawatan hemodialisis yang berkualiti, selamat dan mampu milik kepada masyarakat setempat, khususnya di kawasan Tapah Road dan sekitarnya.
Katanya lagi, kerjasama tersebut diharap dapat meningkatkan keberkesanan operasi pusat serta membuka lebih banyak peluang dalam membantu pesakit mendapatkan akses rawatan yang lebih baik.
Sejak memulakan operasi, pusat tersebut yang mempunyai 12 unit mesin dialisis dengan kapasiti rawatan sehingga 48 pesakit mula memberikan perkhidmatan kepada lima orang pesakit dan kini sedang dalam proses kelulusan untuk pendaftaran masuk pesakit-pesakit baharu.










