Graduan Akademi Binaan Malaysia (ABM) boleh mempraktiskan kemahiran yang dimiliki dengan menubuhkan koperasi, sekali gus berpeluang menjana ekonomi berprestasi tinggi.
Antara peluang ekonomi yang boleh dijana melaluinya adalah seperti kejuruteraan awam dan elektrik, kontraktor, analisis data serta teknologi maklumat.
Demikian menurut Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sewaktu menyampaikan taklimat mengenai koperasi dalam program Bicara Tokoh siri ke-13 di Auditorium Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara di Sintok, Kedah pada 12 Julai 2026.
Katanya, graduan ABM mempunyai kelebihan yang dikehendaki oleh pasaran masa kini dan boleh menggunakan kemahiran dan kepintaran yang dimiliki sebagai asas kejayaan dalam kerjaya mahupun usahawan.
“Konsep berkoperasi yang bersifat jemaah melambangkan kerjasama berpasukan. Kelebihan ini jika dimanfaatkan dengan baik, koperasi mampu digerakkan dengan lebih kuat sekali gus menghasilkan kejayaan dan matlamat seperti yang kita harapkan,” jelas beliau.
Program Bicara Tokoh yang membawa tema ‘Membina Kerjaya, Mencipta Kekayaan, Memakmurkan Negara’ itu turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuaa ANGKASA Negeri Kedah, Haji Wan Ibrahim Wan Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif ABM Wilayah Utara, Encik Mohd Nazri Haji Zakaria.
ABM Wilayah Utara merupakan pusat latihan dan penilaian di bawah Lembaga Perindustrian Pembinaan Malaysia (CIDB) yang menjalankan kursus berkemahiran tinggi kepada golongan belia.











