Seramai 26 delegasi daripada The Cooperative League of Thailand (CLT) telah mengadakan kunjungan ke ANGKASA di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 13 Julai 2026.
Ketua delegasi CLT, Chairman of Cooperative League of Thailand , Mr. Poramate Intarachumnum berkata, mereka ingin mengetahui peranan ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi di Malaysia secara lebih dekat selain mempelajari amalan tadbir urus terbaik koperasi di Malaysia.
Delegasi juga turut mengambil peluang untuk meninjau secara lebih dekat mengenai kolaborasi perniagaan yang boleh dilaksanakan khususnya dalam Sektor Pelancongan antara dua negara.
Terdahulu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berbesar hati menerima kunjungan delegasi CLT ke ANGKASA bagi mengukuhkan lagi semangat solidariti serta mengeratkan hubungan antara gerakan koperasi di Thailand dan Malaysia.
Dalam taklimat ringkasnya mengenai ANGKASA, belia memberitahu ekosistem koperasi Malaysia beroperasi di bawah naungan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan tiga badan berbeza yang menyokong sektor koperasi iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia, yang berperanan sebagai badan kawal selia utama dan Pejabat Pendaftar Koperasi; Institut Koperasi Malaysia, bersama-sama universiti koperasi khusus, yang menerajui usaha latihan dan pendidikan tinggi dalam bidang koperasi; dan ANGKASA, sebagai satu-satunya badan induk yang mewakili suara dan kepentingan seluruh gerakan koperasi.
“ANGKASA telah didaftarkan pada 12 Mei 1971 dan pada tahun 2026, ANGKASA menyambut ulang tahunnya yang ke-55.
ANGKASA turut menawarkan perkhidmatan khusus yang menyeluruh kepada ahli-ahlinya, mempelopori sistem potongan gaji, pengurusan Syariah dan zakat koperasi, pendidikan perniagaan serta pembentukan anak-anak syarikat bagi menjalankan perniagaan”, jelas beliau.
Bagi kelestarian sosioekonomi gerakan koperasi, mereka perlu saling berkongsi pengetahuan, teknologi dan akses pasaran merentasi sempadan dan ANGKASA mengalu-alukan kerjasama antarabangsa bagi memperkasakan perniagaan koperasi secara bersama.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA. Prof Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA serta Menanggung Tugas Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran, Encik Halim Haji Ibrahim serta Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak.





















