ANGKASA dan Bank Simpanan Nasional (BSN) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan Skim BSN Tabung Umrah ANGKASA dalam usaha memperluas kemudahan tabungan bagi membantu masyarakat merancang perjalanan menunaikan ibadah umrah secara lebih sistematik.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, berkata kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen ANGKASA untuk memperkukuh ekosistem kewangan koperasi serta memperluas akses masyarakat kepada kemudahan tabungan yang terancang. Beliau berharap kerjasama tersebut dapat memberikan manfaat kepada anggota koperasi dan masyarakat yang berhasrat menunaikan ibadah umrah.
Majlis menandatangani MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, bersama Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Encik Mujibburrahman Abd Rashid disaksikan oleh Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi BSN, Dato’ Sri Dr. Zukri Samat, di Aras 20, Wisma BSN, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2026.
Kerjasama strategik antara Bank Simpanan Nasional (BSN) dan ANGKASA menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan BSN Tabung Umrah ANGKASA Scheme bertujuan membantu masyarakat Islam menabung secara terancang dan konsisten bagi menunaikan ibadah umrah.
Inisiatif ini menggabungkan kekuatan gerakan koperasi dengan kepakaran institusi kewangan dalam menyediakan kemudahan simpanan yang lebih komprehensif melalui sistem dan fasiliti yang ditawarkan oleh BSN.
Skim tersebut dijangka mula ditawarkan kepada pelanggan pada Disember 2026 sebagai platform simpanan yang mudah, selamat dan berstruktur untuk menyokong perancangan kewangan umrah.
Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang menyokong inisiatif ini, BSN turut menaja pakej umrah sepenuhnya kepada tiga pelanggan bertuah BSN Tabung Umrah ANGKASA Scheme.
Kerjasama ini diharap dapat menggalakkan budaya menabung secara konsisten serta memperluas akses masyarakat Islam kepada kemudahan kewangan bagi merealisasikan hasrat menunaikan ibadah umrah.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr Haji Nasaruddin Othman, Pengurus Besar Kanan, Kumpulan Kewangan Korporat, Encik Hamzah Haji Ibrahim, Pengurus Besar, Bahagian Perkhidmatan Kredit & Kewangan, Encik Wan Mohd Asdi Wan Mansor serta Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA Merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA (Menanggung tugas Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran), Encik Halim Haji Ibrahim.


















