ASEAN Cooperative Forum 2025 yang berlangsung sempena ASEAN Cooperative Dialogue 2025 (ACD 2025) hari ini (13 Mei 2025) menyerlahkan peranan gerakan koperasi ASEAN sebagai pemacu transformasi ekonomi serantau ke arah pembangunan yang lebih adil, inklusif dan lestari.
Sebanyak tiga forum telah berlangsung yang menghimpunkan pemimpin koperasi, ahli akademik, pakar dan penggubal dasar di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor.
Forum pertama bertajuk ‘Stronger Together: How Cooperatives Make ASEAN a Better Place by Eradicating Poverty’ memberi tumpuan kepada peranan besar gerakan koperasi dalam membasmi kemiskinan di peringkat serantau. Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Daerah Batu Pahat Berhad, Dr. Hajah Hayati Md Salleh bertindak sebagai moderator bagi sesi itu yang turut menampilkan tiga panelis antarabangsa.
Barisan panelis yang berkongsi pandangan ialah Pakar Pembangunan Perniagaan Koperasi dari Cooperative Promotion Department (CPD) (Thailand), Ms. Ubonwan Pattanalap, Pengarah Kumpulan Hubungan Luar CPD, Dr. Jedsadaporn Sathapatyanon dan Pengurus Pejabat Pengurusan Projek, Kementerian Koperasi Republik Indonesia, Mr. Ilham Nasai. Ketiga-tiga panelis berkongsi pendekatan dan inisiatif negara masing-masing dalam menjadikan koperasi sebagai instrumen berkesan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat berpendapatan rendah.
Forum kedua, bertajuk ‘Sustainable Growth of Regional Cooperatives: The Power of the Cooperative Business Model’, memberi tumpuan kepada kekuatan dan keunikan model perniagaan koperasi yang bukan sahaja berdaya tahan, malah menjadi tunjang utama kepada kelestarian dalam ekonomi komuniti.

Sesi tersebut menampilkan Pengerusi Koperasi Kebuniti Selangor Berhad, Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai moderator dan barisan panelis terdiri daripada Ketua Kumpulan dari The Cooperative Academy of National Confederation of Cooperative (Filipina), Mr. Glenn M. Medez dan Ketua Pegawai Eksekutif Co-opbank Pertama, Encik Khairil Anuar Mohammad Anuar.
Mereka berkongsi pengalaman dan kejayaan dalam memperkukuh struktur koperasi melalui inovasi, tadbir urus yang cekap serta keterlibatan komuniti. Turut diketengahkan ialah cabaran yang dihadapi oleh koperasi yang menghalang pertumbuhan dan kelestarian mereka, di samping strategi utama ke arah pembangunan koperasi yang mampan.
Forum ketiga yang bertajuk ‘Way Forward for Cooperatives in ASEAN’ pula meninjau arah tuju koperasi serantau dalam mendepani cabaran global. Moderatornya, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Encik Azizul Alias mengetuai panel yang dibarisi oleh Profesor Ekonomi selaku Pengarah Institut Pembangunan & Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali dan Pengarah Serantau Ikatan Koperasi Antarabangsa – Asia dan Pasifik, Mr. Balasubramanian G. Iyer.

Perbincangan menjurus kepada keperluan memperkukuh dasar sokongan terhadap gerakan koperasi, mempengaruhi hala tuju dasar berkaitan koperasi di peringkat serantau, mempromosikan identiti koperasi serta memperbaiki persepsi umum terhadap peranan koperasi dalam ekonomi moden. Selain itu, turut dibincangkan ialah kepentingan menggalakkan kerjasama perdagangan dan kewangan antara koperasi merentas sempadan ASEAN sebagai langkah memperkasa jaringan ekonomi koperasi yang lebih luas dan berdaya saing.
Secara keseluruhan, ketiga-tiga forum itu bukan sahaja memberi wadah perkongsian ilmu dan pengalaman, bahkan membentuk hala tuju bersama dalam merealisasikan tema ACD 2025, ‘Cooperatives Build a Better World’.
Sementara itu, turut berlangsung majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara ASEAN Co-operative Organization (ACO) dengan China-ASEAN Chamber of Agricultural Commerce (CACAC).
ACO diwakili oleh Presidennya merangkap Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah manakala CACAC diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Mr. Xu Mingfeng.
MoU itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan pertanian, pembangunan koperasi dan peningkatan kapasiti di seluruh rantau China-ASEAN.
Usaha tersebut sejajar dengan matlamat forum yang memberi penekanan kepada pembentukan kerjasama praktikal dalam menyokong pertumbuhan dan integrasi koperasi dalam komuniti ASEAN secara menyeluruh.





















