Seiring aspirasi nasional di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan inovasi, produktiviti dan ekonomi berasaskan nilai, ANGKASA–UMK Research Academy (AURA) berada pada kedudukan strategik dalam memperkukuh sumbangan sektor koperasi. Peranan tersebut dilaksanakan melalui penyelidikan berimpak tinggi, pembangunan bakat serta pengaruh dalam pembentukan dasar.
Dalam konteks itu, AURA menyasarkan untuk merangka dan melaksanakan pelan strategik komprehensif bagi mencapai pengiktirafan sebagai Higher Institution Centre of Excellence (HiCOE) dalam tempoh lima tahun.
Ke arah itu, Bengkel Hala Tuju AURA telah diadakan di Kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok, Kelantan pada 11 April 2026. Bengkel tersebut diketuai oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik bagi memurnikan Pelan Strategik AURA.
Sementara itu, Mesyuarat Eksekutif AURA Bil. 1/2026 (Kali Ke-6) yang diadakan pada 12 April 2026 di kampus sama menjadi platform penting untuk menyelaras hala tuju strategik AURA bagi tempoh 2026 hingga 2030 secara bersepadu dan berimpak tinggi. Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah yang hadir secara dalam talian serta Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah.
Perbincangan tertumpu kepada penetapan keutamaan strategik, pengukuhan penyelidikan, pemantapan tadbir urus serta pengoptimuman sumber dan kolaborasi strategik, selaras dengan dasar kerajaan termasuk Dasar Koperasi Malaysia, kerangka Malaysia MADANI, Sustainable Development Goals (SDGs) serta Environmental, Social and Governance (ESG).
Dalam ucapan pembukaan, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menyatakan harapan agar peranan AURA dapat diperkasakan sebagai pusat rujukan penyelidikan koperasi melalui pelaksanaan program berimpak tinggi yang mampu memacu transformasi sektor berkenaan.
Menurut beliau, kerjasama strategik bersama UMK akan terus diperkukuh bagi memastikan sumbangan yang lebih signifikan, mampan dan bernilai tinggi kepada pembangunan gerakan koperasi negara.
Sehubungan itu, beliau berkata AURA perlu memperkukuh peranannya bukan sahaja sebagai pusat kecemerlangan, malah sebagai entiti yang mampu menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi. Usaha tersebut turut merangkumi penarikan geran kompetitif serta sumbangan langsung kepada pembangunan dasar dan industri koperasi.
Pendekatan strategik yang berfasa dan berasaskan prestasi dilihat penting bagi memastikan aspirasi untuk mencapai pengiktirafan HiCOE dapat direalisasikan dalam tempoh yang ditetapkan.
Hadir sama ialah Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Mohd Nasiruddin Othman, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi) UMK, Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail, Pengarah Kanan Pusat Keusahawanan UMK, Prof. Dr. Mohd Nor Hakimi Yusoff dan Pengarah AURA, Dr. Siti Amaliya Mohd Radyi.




























