ANGKASA telah mengambil langkah proaktif dengan merangka pelaksanaan inisiatif yang bersasar termasuk menyediakan kemudahan kabin kepada 20 buah koperasi kariah masjid terpilih bagi membantu menjana aktiviti ekonomi yang lebih tersusun dan mampan dan Koperasi Kariah Masjid Kampung Lubuk Kulit Berhad merupakan salah sebuah koperasi masjid yang terpilih.
Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Kampung Lubuk Kulit Berhad, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kabin kepada Koperasi Kariah Masjid Kampung Lubuk Kulit Berhad yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Lubuk Kulit pada 14 April 2026.
Menurutnya, penyerahan tersebut sebagai pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai aktiviti ekonomi yang mampu menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
“Pada Kongres Koperasi Kebangsaan yang lalu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 khusus untuk memperkasa koperasi kariah masjid di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekonomi rakyat.”ujarnya.
Justeru, kemudahan kabin yang diserahkan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh koperasi dan ahli kariah untuk menjalankan aktiviti ekonomi seperti perniagaan kecil, perkhidmatan dan lain-lain inisiatif yang bersesuaian. Kabin ini berfungsi sebagai ruang perniagaan malah sebagai platform untuk membuka peluang pekerjaan serta membantu meningkatkan ekonomi golongan asnaf dan masyarakat setempat.
Koperasi kariah masjid mempunyai keunikan tersendiri kerana berasaskan kepada nilai-nilai kebersamaan dan keprihatinan terhadap kebajikan ummah. Justeru setiap inisiatif ekonomi yang dijalankan perlu berlandaskan prinsip patuh syariah serta memberi impak langsung kepada kesejahteraan ahli kariah, termasuk membantu golongan yang memerlukan.
Dengan adanya kerjasama erat antara koperasi, komuniti setempat serta sokongan agensi berkaitan, termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia, koperasi kariah masjid mampu berkembang sebagai institusi ekonomi yang kukuh dan mampan. Usaha ini dapat meningkatkan pendapatan serta dapat memperkukuh perpaduan serta semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat.
Penubuhan Koperasi Kariah Masjid merupakan satu pendekatan strategik untuk mengembalikan peranan masjid sebagai pusat pembangunan ekonomi ummah yang berintegriti, telus dan berdaya maju.
Sehingga Jun 2025 terdapat 588 buah koperasi kariah masjid di seluruh negara dengan keanggotaan sehingga 48,578 individu, serta jumlah aset sebanyak RM41.78 juta, syer/yuran sebanyak RM16.67 juta dan perolehan sebanyak 17.47 juta.
Dalam konteks koperasi kariah masjid, potensi ini perlu diterjemahkan melalui aktiviti ekonomi yang bersesuaian seperti peruncitan, perkhidmatan, pengurusan aset serta inisiatif kebajikan yang mampu memberi nilai tambah kepada komuniti setempat.
Katanya lagi, koperasi perlu ditingkat dan terus dikembangkan dengan bantuan modal yang lebih besar daripada anggota sendiri, selain melatih anak-anak mereka supaya minat beniaga.
Anggota perlu mendalami dan menunaikan komitmen masing-masing bersama kepimpinan koperasi demi berjihad dalam ekonomi. Beliau menyeru agar semua pihak terus komited dan berganding bahu dalam menjayakan agenda pemerkasaan koperasi demi kesejahteraan ummah secara menyeluruh.
Hadir sama ialah Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Mohd Nasiruddin Othman dan Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA, Encik Mohd Safian Abdul Rahman.










