Pelakon yang sinonim dengan watak antagonis dalam pelbagai filem tempatan, Zack Taipan, meluahkan rasa terharu atas keprihatinan ANGKASA terhadap kebajikan anak seni sepertinya.
Zack atau nama sebenarnya Zulkifli Isa, yang menghidap angin ahmar sejak 10 tahun lalu, merupakan antara 15 anggota Koperasi Anak Seni Malaysia Berhad (KOOPSENI) yang menerima sumbangan barangan keperluan asas menerusi Program CSR CoopCare ANGKASA.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika mengadakan kunjungan ke kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur pada 11 April 2026.
Dalam program sama, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut mengunjungi kediaman pelawak dan pelakon, Sathiya atau nama sebenarnya Sathivel A/L Periasamy, di Setapak bagi menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas.
Pelawak veteran yang pernah membintangi pelbagai program komedi dan drama televisyen, antaranya Pi Mai Pi Mai Tang Tu, sebelum ini menjalani pembedahan pemotongan kaki kiri di Hospital Ampang pada 2025 akibat jangkitan kuman.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, sumbangan tersebut merupakan tanda penghargaan terhadap jasa anak seni negara yang telah banyak menyumbang kepada industri hiburan tanah air.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan juga mencerminkan komitmen ANGKASA dalam menyantuni golongan memerlukan termasuk dalam kalangan penggiat seni yang berdepan cabaran kesihatan dan ekonomi.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, barisan Anggota Lembaga KOOPSENI yang diketuai Pengerusinya, Encik Akram Khan Fakir dan Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim.





















