ANGKASA mengusulkan kerjasama dengan Kumpulan Jaringan Universiti IMT-GT (UniNet) bagi menyokong pembangunan ASEAN Co-operative Management & Leadership Institute (ACMAL), khususnya dalam penyediaan latihan dan pembangunan kepimpinan profesional untuk penggiat gerakan koperasi.
Cadangan itu dikemukakan Naib Presiden ANGKASA, Tuan Haji Zaharuddin Alias, yang mengetuai delegasi ANGKASA ke Mesyuarat Pegawai Kanan IMT-GT Ke-33 di Medan, Indonesia pada 8 September 2026 dalam perbincangan bersama Penolong Naib Canselor (Antarabangsa) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Prof. Datin Dr. Norazida Mohamed yang juga Pengerusi kepada jaringan UniNet pada tahun 2026.
Tuan Haji Zaharuddin berkata ANGKASA dan gerakan koperasi Malaysia memerlukan sokongan institusi seperti UniNet bagi membangunkan program latihan dan kepimpinan profesional yang diiktiraf serta diakreditasi sepenuhnya.
“ANGKASA dan gerakan koperasi di Malaysia memerlukan bantuan institusi seperti UniNet untuk memenuhi keperluan melaksanakan program latihan dan kepimpinan profesional bagi para koperator Malaysia yang diiktiraf dan diakreditasi penuh,” katanya.
Beliau berkata kelayakan profesional yang diiktiraf penting khususnya bagi koperator yang terlibat dalam pengurusan peringkat tertinggi serta Anggota Lembaga Koperasi, selain dapat meningkatkan imej gerakan koperasi dan memudahkan akses kepada kemudahan pinjaman, geran serta bantuan lain.
Sementara itu, Prof. Datin Dr. Norazida berkata kerjasama melalui UniNet dapat membantu merancang, menyelaras dan melaksanakan program latihan serta kepimpinan profesional khusus untuk koperator.
Katanya, UniNet juga boleh memudah cara kerjasama dengan universiti di wilayah Indonesia-Malaysia-Thailand, termasuk dalam pembangunan modul serta pelaksanaan projek dan kajian yang memberi manfaat kepada komuniti koperasi di wilayah IMT-GT.
Cadangan kerjasama itu selaras dengan resolusi ASEAN Co-operative Dialogue 2025 (ACD2025) yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan koperator melalui latihan teknikal dan kepimpinan, termasuk cadangan penubuhan ACMAL.
Kerjasama dengan UniNet dijangka dapat mempermudah dan mempercepatkan usaha penubuhan ACMAL melalui jaringan universiti bukan sahaja di wilayah IMT-GT, malah di peringkat ASEAN.
UniNet ditubuhkan pada 1996 dengan penglibatan lapan universiti sebagai perintis sebelum diterima sebagai salah satu badan sektoral IMT-GT pada 2017 dan kini mempunyai lebih 32 universiti sebagai anggota tetap.







